Beberapa perkataan baharu yang sering kali digunakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dimasukkan dalam kamus dalam talian Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Antara perkataan itu adalah maha kaya, ketimbang dan peluncuran, maklum Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat dasar bagi Kementerian Pendidikan (KPM) di Dewan Rakyat pada Isnin.
Dengan pengumuman itu, Fadhlina berharap orang ramai dapat menerima bahawa perbendaharaan bahasa Melayu terus hidup dan sedang berkembang.
"Sebagai bahasa yang hidup, kosa kata bahasa Melayu sentiasa berkembang penggunaannya. Ada yang suatu ketika dahulu kerap digunakan, kini sudah dianggap klasik.
"Contohnya, dahulu digunakan tetuang udara namun kini, radio. Dahulu perkataan ujana yang dianggap klasik kini meluas digunakan yang merujuk taman. Ujana ilmu yang bermaksud taman ilmu, ujana buku yang bermaksud taman yang dipenuhi buku-buku.
"Sama ada sedar atau tidak, sudah banyak kata serantau alam Melayu atau Nusantara yang sudah terserap ke dalam bahasa Melayu kita,” ujarnya.
Sementara itu, Fadhlina berkata, ketimbang adalah perkataan yang terdapat dalam Kamus Besar Bahasa Indonesia yang bermaksud kata untuk menandai perbandingan.
"Kata ketimbang sama erti atau bersinonim dengan kata daripada.
"Manakala perkataan peluncuran pula, ia mempunyai maksud yang sama dengan pelancaran, iaitu hal atau perbuatan memperkenalkan produk atau program semakin banyak digunakan oleh pengguna bahasa Melayu sebagai variasi dalam konteks yang bersesuaian," tuturnya lagi.
Sinar Bestari kongsikan 12 perkataan baharu beserta maksudnya yang kini dimasukkan dalam kamus talian DBP.
1) Ketimbang - kata sendi nama menyatakan atau menunjukkan perbezaan atau perbandingan antara sesuatu
2) Tatanan – peraturan atau sistem yang ditetapkan atau yang dipersetujui bersama-sama
3) Intiha – akhir, penghabisan atau penutup
4) Mahsul – hasil mahsul; berbagai-bagai hasil dalam sesebuah negeri
5) Purbasangka – arkaik prasangka (perkataan Melayu klasik)
6) Taakul – hal membuat pertimbangan dan penilaian dengan menggunakan akal atau logik
7) Kesenjangan – keadaan senjang
8) Tiwikrama – perubahan besar dengan usaha yang bersungguh-sungguh
9) Walhasil – hasilnya atau akibat daripada sesuatu peristiwa, perbuatan, keadaan dan sebagainya
10) Maha Kaya – (tentang ALLAH SWT) sangat atau teramat hebat (tentang seseorang) besar atau tinggi kedudukannya
11) Kebinekaan – keadaan pelbagai jenis atau aneka ragam di sesuatu tempat, negara dan sebagainya
12) Tatakelola – pentadbiran organisasi mengikut prosedur dan peraturan yang ditetapkan; menitikberatkan sifat dan sikap positif pemimpin, pengalaman, kemahiran dan pengetahuan; ideologi dan fikiran yang prolifik untuk menjana perubahan