Ubah penggunaan alat pengajaran, pembelajaran - Tokoh Pendidikan Negara

Iklan
Muka depan Sinar Harian pada 4 November lalu. Alimuddin (kiri).

Sebarang aspek yang dipersetujui dasar perlu diteruskan, namun pada masa sama sistem pendidikan negara memerlukan perubahan kerana ia bersikap dinamik.

Tokoh Pendidikan Negara, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, antara perkara yang memerlukan perubahan adalah dari segi penggunaan alat pengajaran dan pembelajaran.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ini kerana pendidikan masa kini menuju ke arah digitalisasi yang memberi penekanan kepada penggunaan teknologi maklumat (ICT), kecerdasan buatan (AI), perkembangan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Bahasa Inggeris.

"Kalau dulu kita guna papan hitam kemudian papan putih, sekarang ada kemudahan elektronik lebih canggih.

Iklan

"Ada sesetengah sekolah sudah mula guna notebook dan tidak perlu bawa buku teks serta peralatan lama.

"Perubahan perlu dilakukan kerana pendidikan ini bersikap dinamik. Berubah dari masa ke masa mengikut peredaran zaman dan keperluan di peringkat global, selain tidak ketinggalan dalam pendidikan abad ke-21," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Sebelum ini, salah satu rumusan program terbaharu terbitan Sinar Harian, Meja Bulat adalah sistem pendidikan negara perlu konsisten, tidak boleh sentiasa berubah.

Meja Bulat merupakan satu program diskusi mencipta resolusi bertajuk Sistem Pendidikan Malaysia: Selepas 60 tahun di mana silapnya? selain membincangkan cabaran dan penambahbaikan sistem pendidikan negara selari dengan transformasi.

Diskusi yang dihoskan oleh bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Tan Sri Dr Zulkurnain Awang itu turut dibarisi panelis hebat seperti bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin; bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Masrizal Muhammad serta Profesor Madya Sekolah Politik dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Nottingham Malaysia, Dr Tricia Yeoh.

Tambah Alimuddin, setiap perubahan bukan sahaja datang daripada warga pendidik, namun cadangan pihak luar juga seperti ibu bapa dan masyarakat.

"Lagipun di kementerian ada bahagian dasar penyelidikan, jadi saya percaya mereka akan melakukan kajian sebelum melakukan perubahan yang bergantung kepada keperluan. Semua dilakukan itu demi anak bangsa juga.

"Jadi, kita sebagai orang awam perlu bagi sokongan penuh kepada kerajaan. Bukannya setiap bulan ada perubahan dalam sistem pendidikan kita," ujarnya.

Beliau berpendapat bagaimanapun tidak semua perlu diubah dan ada perkara yang perlu sentiasa konsisten mengikut dasar telah ditetapkan bagi mengelak kekeliruan atau salah faham dalam kalangan pendidik, ibu bapa dan pelajar.

Menurutnya, di peringkat kementerian sudah mempunyai dasar secara bertulis dan dinyatakan dengan jelas tentang perkara-perkara berkaitan pendidikan.

"Menjadi satu kesalahan jika melakukan perkara bertentangan dengan akta dan peraturan yang ditetapkan," katanya.