Susulan kes buli yang dilaporkan berlaku di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) akhir-akhir ini, mencetuskan pelbagai kontroversi yang sedikit sebanyak menjejaskan nama baik institusi itu.
Setakat Oktober lalu, terdapat dua kes buli dilaporkan melibatkan penuntut universiti itu sehingga mangsa dikatakan mengalami keretakan tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak senior, manakala seorang lagi ditekap menggunakan seterika.
Bagaikan tidak serik, budaya buli terutamanya pemangsa dilihat semakin berani menunjukkan taring dan lebih menyedihkan ia melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang sepatutnya sudah boleh membezakan perkara baik dan buruk.
Bagi merungkai situasi sebenar yang digembar-gemburkan oleh masyarakat membabitkan nama baik UPNM, Sinar Bestari dapatkan maklum balas daripada alumni universiti itu.
Presiden Persatuan Alumni UPNM merangkap Asisten Ketua Staf J2 Markas Angkatan Bersama, Kol Ahmad Rizakee Ahmad Satibi berkata, budaya buli atau raging sebenarnya sudah banyak berlaku di semua institusi pendidikan sama ada ia dilaporkan atau tidak.
"Ia tidak sepatutnya berlaku apatah lagi sehingga mendatangkan kemudaratan atau kecederaan kepada individu.
"UPNM ini sebuah universiti yang bukan sahaja menitikberatkan akademik tetapi turut melatih ilmu ketenteraaan.
"Jadi tidak hairanlah sekiranya latihan berbentuk kasar dan lasak antara elemen yang diguna pakai kepada semua pelajar terutama mereka di bawah Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), pengurusan Kementerian Pertahanan.
"Namun tidaklah sehingga mengundang kesakitan atau kecederaan kepada pelajar lain melainkan ia sekadar latihan kecergasan bagi tujuan lebih aktif dan cergas sesuai dalam latihan ketenteraan,” katanya.
Buli masalah individu
Ahmad Rizakee menegaskan, sebagai bekas pelajar UPNM yang sebelum ini dikenali Akademi Tentera Malaysia (ATMA), budaya buli atau raging senior junior adalah lebih kepada masalah individu itu sendiri yang dikaitkan dengan latar belakang masing-masing.
"Saya secara peribadi memang mengikuti perubahan yang berlaku dalam organisasi UPNM lebih-lebih lagi sebagai presiden persatuan alumni.
"Saya lihat bahawa insiden buli atau pukul sebenarnya adalah masalah individu yang terlibat akibat cara didikan dan budaya sebelum menyertai institusi pengajian tinggi.
"Latihan ketenteraan memang berbentuk lasak dan intensiti tinggi. Jika sudah melakukan kesalahan pasti akan ada denda sebagai satu cara didikan, namun bukanlah sampai tahap menyakitkan. Kerana ia bukan satu bentuk gurauan,” tegasnya.
UPNM sama seperti IPT lain
Alumni UPNM 2007, Wan Muhammad Faris Wan Mohd Noor turut mengecam sekeras-kerasnya tindakan buli sehingga mendatangkan kematian.
Kata Muhammad Faris, sepanjang tempoh pengajiannya, tiada istilah buli melainkan hanyalah sesi latihan seperti •pumping •atau• jumping jack• sekiranya melakukan kesilapan.
"Impak daripada didenda sebegitu, kami menjadi lebih aktif dan ia memupuk semangat setia kawan serta tanggungjawab yang tinggi dalam diri.
"Tetapi kini, apabila melihat berita yang ada sentuhan fizikal sehingga cedera dan sebagainya memang sepatutnya dikecam kerana ia tidak seharusnya berlaku dalam latihan ketenteraan,” ujarnya.
Tegasnya, sangat tidak adil untuk terus mencerminkan UPNM sebagai sebuah institusi yang membenarkan buli sedangkan universiti itu sama dengan universiti awam yang lain.
"Kes buli yang dilaporkan biasanya terjadi dalam kalangan pelajar berpangkat pegawai kadet di bawah kelolaan ALK yang berpengkalan dalam UPNM.
"Ia dua organisasi dan identiti yang berbeza. Namun perlu saya ingatkan, jika tidak berminat untuk menjadi tentera elakkan memohon sebagai pegawai kadet kerana di sini latihannya lebih sukar,” katanya.
UPNM tidak berdiam diri
Ditanya mengenai kes Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, pelajar UPNM yang dilaporkan meninggal dunia akibat ditekap seterika wap, seorang lagi alumni, Mohamad Amir Shaqim Ahmad Shahriman berkata, ia adalah satu tindakan yang sukar dijangka apatah lagi berlaku dalam satu batch.
Beliau bersama rakan alumni yang lain turut mengecam tindakan buli yang dilaporkan terjadi dalam UPNM sejak akhir-akhir ini.
"Selepas kes arwah Zulfarhan yang terjadi pada tahun 2017 hingga kini iaitu selama tujuh tahun, tiada apa-apa cerita buruk yang kita dengar mengenai UPNM.
"Saya rasa pihak pengurusan UPNM dan ALK sendiri telah melaksanakan sesuatu untuk membendung perkara sebegini daripada berlaku,” katanya.
Beliau yang kini bekerja sebagai Pegawai Khas Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, sebagai orang awam terutamanya ibu bapa hendaklah membendung penularan wabak buli ini bermula daripada rumah.
"Kalau kita lihat pemangsa ini mungkin sebenarnya mempunyai masalah daripada rumah sehingga terbawa-bawa ke dalam IPT.
"Jangan terus salahkan institusi itu sendiri kerana UPNM sama seperti universiti awam yang lain ditubuhkan untuk membentuk seorang pemimpin,” katanya lagi.
Sementara itu, alumni yang menuntut daripada ijazah sarjana muda sehingga doktor falsafah di UPNM, Leftenan Ts N Thachanatharen menjelaskan, disiplin antara elemen penting dalam latihan ketenteraan dan agak sukar untuk mendidik pelajar yang datangnya daripada latar belakang berbeza.
Latihan yang lebih tegas katanya, diperlukan untuk melatih mereka menjadi lebih berdisiplin tetapi tidaklah berunsurkan keganasan.
"Ia tidak boleh dikategorikan sebagai buli kerana tiada sentuhan fizikal sama ada dari seorang senior mahupun pegawai.
"Jangan dek kerana seorang yang membuat onar, merosakkan seluruh nama baik universiti kerana UPNM sendiri telah melahirkan lebih kurang 70 peratus pegawai tentera buat Malaysia,” katanya.