Pelajar SMK Tongod terpaksa mandi sungai akibat masalah air

Iklan
SMK Tongod berhadapan masalah bekalan air sejak hampir dua minggu lalu. Gambar kecil: Masiung Banah

Kira-kira 300 pelajar asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tongod, Sabah terpaksa mandi di sungai berikutan masalah bekalan air yang berlaku sejak dua minggu lalu.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, belanjawan yang diperuntukkan kepada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) memfokuskan penyelesaian jangka pendek terutama di kawasannya, di mana ketika ini sekolah berkenaan berhadapan masalah air.

Iklan
Iklan

"Saya ada mendapat WhatsApp daripada guru bahawa mereka sudah hampir dua minggu tiada bekalan air di SMK Tongod khususnya di asrama.

"Saya dimaklumkan pelajar Tingkatan Satu hingga Empat terpaksa pulang dan belajar di rumah masing-masing.

Iklan

"Mereka akan dipanggil tinggal di asrama semula apabila bekalan air sudah pulih,” katanya.

Tegas beliau, hanya pelajar Tingkatan Lima dan Enam ketika ini dibenarkan tinggal di asrama sekolah, namun mereka terpaksa mandi di Sungai Milian.

Iklan

"Sungai itu dekat dengan sekolah sekitar 100 hingga 200 meter sahaja dan keadaannya tidak sebersih seperti dahulu, selain airnya keruh.

"Tetapi pelajar memang mandi dan menggunakan air sungai untuk membersihkan diri termasuk kegunaan di tandas dengan menggunakan saluran daripada pam air.

"Sebab itu dikurangkan jumlah pelajar di asrama untuk mengehadkan penggunaan air bersih yang mungkin menggunakan inisiatif air minuman yang dibeli," katanya.

Bagaimanapun, beliau berharap perkara itu dapat diselesaikan dengan segera oleh pihak kerajaan kerana ia sering berlaku di kawasannya.

"Kita tidak risau mengenai buaya sebab (mereka digelar) ‘orang Sungai’.

"Antara paling ditakuti buaya adalah orang Sungai. Tetapi Jabatan air (JANS) perlu memberikan satu penyelesaian yang tuntas," tegasnya.