Status setiap projek naik taraf dan baik pulih di Institusi Pendidikan Mara (IPMA) hampir 90 peratus telah siap kecuali Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Terendak, Melaka yang dijangka selesai pertengahan Disember.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu hantaran di Facebook berkata, MRSM terbabit melibatkan kos yang tinggi bernilai RM400 ribu dengan meliputi pembaikan besar tandas-tandas yang rosak teruk, bilik guru dan fasiliti asrama.
"Saya berkesempatan meneliti status setiap projek naik taraf dan baik pulih hasil terjahan saya ke beberapa lokasi IPMA termasuk 41 buah MRSM, Kolej Kemahiran Tinggi Mara dan Kolej Profesional Mara setakat hari ini.
"Alhamdulillah, hampir 90 peratus telah siap sempurna. Terima kasih kepada pengurusan Mara di semua peringkat yang mengambil tindakan pantas selepas sahaja saya dan Ahli Majlis meluluskan peruntukan khas untuk membantu IPMA yang perlu ditangani segera,” tulisnya.
Tambah Asyraf, tindakan #terjah yang dilakukannya sebelum ini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan setiap sen wang rakyat dibelanjakan dengan sempurna, berkesan dan tiada sebarang ketirisan.
"Insya-ALLAH Mara sentiasa komited untuk memastikan prasarana dan persekitaran pembelajaran berada dalam terbaik agar pelajar dan warga kerja IPMA dapat terus melakar kecemerlangan,” tulisnya.