KUANTAN - Keterujaan 47 kanak-kanak dari dua tadika, di sini menaiki kapal terbang buat kali pertama mencuri perhatian ramai selepas rakaman video mereka tular di media sosial.
Video yang dikongsi oleh seorang guru menunjukkan aksi penuh bersemangat murid-murid itu ketika memasuki pesawat di Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Tingkah laku mereka yang melambai-lambai, tersenyum lebar dan melompat kegembiraan bersama 13 guru dari Tadika Muslim Juniors Prima Jaya, Kampung Padang dan Muslim Juniors Prima Pintar, PSJ Sungai Karang mencuit hati netizen.
Pengusaha tadika tersebut, Wan Noor Azni Wan A R Azizan berkata, program bertemakan ‘Kepelbagaian Pengangkutan di Malaysia’ itu memberi pengalaman unik apabila turut menggunakan kereta api.
Menurutnya, pada awal tahun lalu, pihak tadika pernah membawa murid-murid menaiki bas ke kem survival di Kuantan, namun kali ini mereka mencuba sesuatu yang lebih istimewa pula.
"Kami terlebih dahulu mendapatkan maklum balas daripada ibu bapa kerana isu kos yang agak tinggi.
"Alhamdulillah, sambutan sangat positif apabila ibu bapa memberikan sokongan penuh dan sanggup mengeluarkan belanja,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Sebaik tiba di KLIA, rombongan guru dan kanak-kanak berumur tiga hingga enam tahun itu meneruskan perjalanan dengan menaiki Express Rail Link (ERL) ke KL Sentral dan kemudiannya menggunakan Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) pula untuk ke Kuala Lumpur City Centre (KLCC) bagi melawat Petrosains.
Ujar Wan Noor Azni, kos perbelanjaan adalah kira-kira RM300 hingga RM350 seorang termasuk tiket kapal terbang berharga RM200.
"Kita ada membuat kutipan sebanyak RM170 hingga RM180 daripada ibu bapa, tanpa sebarang tajaan daripada mana-mana pihak.
"Walaupun cabaran pembelian tiket hanya dilakukan kurang daripada sebulan sebelum program, ibu bapa sangat memahami,” jelasnya.
Tambahnya, program itu bukan sahaja memberi pengalaman baharu kepada kanak-kanak, tetapi juga membuktikan keupayaan pihak tadika dalam menguruskan program berskala besar.
Dengan pengalaman menguruskan tadika selama 15 tahun, Wan Noor Azni yakin mampu merancang aktiviti yang lebih unik di masa hadapan.
"Alhamdulillah, walaupun idea tersebut timbul kurang dua bulan sebelum program diadakan, ia berjaya direalisasikan.
"Kami akan terus berusaha memberikan pengalaman baharu kepada kanak-kanak ini di masa akan datang,” ujarnya.