Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil serius amaran Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia) berkenaan hujan berterusan yang dijangka berlaku sehingga 11 Disember ini.
Menurut kenyataan media KPM, Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah, Perak dan Johor adalah tujuh negeri yang berkemungkinan mengakibatkan gelombang kedua banjir.
"Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah diarah untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana terutamanya di kawasan yang berisiko tinggi.
"Semua jawatankuasa diminta untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam tindakan kesiapsiagaan menghadapi bencana banjir berdasarkan surat pekeliling ikhtisas dan surat siaran yang sedang berkuat kuasa.
"Panduan Pengurusan Bencana Banjir Institusi Pendidikan KPM merangkumi tindakan yang perlu diambil sebelum, semasa dan selepas bencana banjir,” maklum KPM.
Sementara itu, bagi menghadapi Ujian Amali Sains, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan berlangsung pada 9, 10 dan 12 Disember 2024, KPM telah mengaktifkan prosedur standard operasi (SOP) Ops Payung.
Ujar mereka, ia penting (SOP Ops Payung) bagi memastikan ujian berkenaan dapat berjalan lancar dan tiada calon yang terjejas.
Akhir sekali, KPM komited memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga KPM terpelihara dalam menghadapi bencana banjir.