Sejumlah 1,038 penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) terjejas banjir pada gelombang pertama Monson Timur Laut (MTL), bulan lalu.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM, Profesor Dr Mohd Sazili Shahibi berkata, mereka terlibat antaranya pelajar UiTM di kampus cawangan Machang, Terengganu dan Johor selain kediaman masing-masing di seluruh negara.
"Di Machang paling ramai terjejas iaitu lebih 500 penuntut apabila kampus dinaiki air sedalam 0.5 meter bermula 26 November lalu.
"Selain pelajar dalam kampus, pihak UiTM dengan bantuan tentera, bomba dan polis turut memindahkan penuntut dari rumah sewa berdekatan kerana banjir dan arus deras,” katanya kepada pemberita di SMK Meranti di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Misi Pasca Banjir Skuad Ihsan Madani Kementerian Pendidikan Tinggi-UiTM di sekolah berkenaan.
Mohd Sazili memberitahu, kesemua penuntut yang terlibat itu akan menerima sumbangan melalui tabung bencana di bawah Bahagian HEP bagi meringankan beban.
"Kita ada tabung bencana untuk bantuan kebajikan dalam memastikan kesusahan penuntut terjejas banjir dapat diringankan.
"Mereka boleh terus berhubung dengan Timbalan Rektor HEP yang bertanggungjawab terhadap hal-hal pelajar di sekitar kampus cawangan atau Shah Alam,” kata beliau.
Dalam pada itu, beliau mengulas, keadaan terkini banjir di kesemua cawangan universiti terlibat pulih dan pihaknya dapat menumpukan perhatian dalam misi memberi bantuan pasca banjir kepada mangsa di seluruh negara melibatkan 3,900 sukarelawan dari UiTM.
"Sukarelawan kami turun padang ke negeri-negeri seperti di Kelantan iaitu daerah Pasir Mas dan Tumpat untuk membantu kerja-kerja membersihkan rumah serta sekolah.
"Kami membawa mereka dalam misi ini untuk mendidik dan melahirkan mahasiswa yang berjasa kepada masyarakat terutama sekali dalam keadaan ditimpa bencana,” katanya.