39,548 calon di Sabah menduduki SPM 2024

Iklan
Raisin (dua dari kanan) ketika melawat SMK Mat Salleh Ranau pada hari pertama berlangsungnya peperiksaan SPM 2024.

Seramai 39,548 calon menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024 di Sabah yang dilaksanakan bermula 2 Januari hingga 6 Februari depan.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, jumlah calon tersebut terdiri daripada 35,232 calon sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), 472 calon sekolah di bawah agensi kerajaan, 234 calon Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) manakala calon persendirian seramai 2,425 orang dan calon Sekolah Swasta seramai 1185 orang.

Iklan
Iklan

"Peperiksaan SPM 2024 juga akan melibatkan 313 pusat peperiksaan dan petugas peperiksaan seramai 3,378 orang.

"JPN Sabah ingin mengingatkan semua calon agar merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung," katanya dalam sidang akhbar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Salleh, Ranau, Sabah pada Khamis.

Raisin

Iklan

Beliau turut mengingatkan calon supaya membawa dokumen pengenalan diri dan pernyataan pendaftaran peperiksaan ke pusat peperiksaan.

"Calon juga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPM 2024," katanya.

Iklan

Katanya lagi, pihak Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) sentiasa bersiap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk musim banjir sepanjang peperiksaan itu berlangsung.

"Calon dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau JPN Sabah dengan kadar segera sekiranya tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang telah ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran disebabkan oleh bencana.

"Calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat JPNS. JPNS komited untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan SPM dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur," katanya.