Kuda terlepas masuk sekolah

Iklan
Anggota APM Daerah Kinta berjaya menenangkan kuda yang terlepas masuk ke dalam kawasan SK Rapat Jaya sebelum dituntut pemiliknya pada Jumaat.
Warga Sekolah Kebangsaan Rapat Jaya, Ipoh terkejut apabila seekor kuda memasuki kawasan sekolah berkenaan dalam kejadian pagi Jumaat.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kinta berkata, pihaknya menerima panggilan daripada sekolah mengenai kejadian berlaku sekitar jam 8.30 pagi itu sebelum sepasukan anggota tiba kira-kira 30 minit kemudian.

Menurutnya, sebelum tiba di lokasi, pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah dihubungi bagi meminta bantuan untuk menyediakan ubat pelali kerana pemanggil memaklumkan kuda tersebut agresif apabila didekati.

"Setibanya di lokasi, anggota APM berjaya menenangkan kuda tersebut dan menambat haiwan tersebut di sebatang pokok di dalam sekolah berkenaan.

"Kuda tersebut dipercayai terlepas dari kandang yang berada berhampiran sekolah sebelum masuk melalui pintu pagar dan berkeliaran di dalam sekolah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, bagaimanapun kejadian tersebut tidak melibatkan sebarang kecederaan warga sekolah mahupun haiwan berkenaan.

Jelasnya, anggota APM kemudiannya berjaya menemui pemilik kuda tersebut dan kemudian haiwan tersebut dituntut kembali sebelum operasi tamat jam 9.25 pagi.