Elak pemarkahan secara tidak adil

Iklan
Markah PAJSK kini boleh membantu pelajar memasuki sekolah berasrama penuh dan juga institusi pendidikan di Mara. Gambar kecil: Cikgu Haiqal

Guru perjelas fungsi PAJSK lebih telus kepada pelajar

Prinsip keadilan dalam pendidikan penting bagi memastikan semua murid dinilai dan diberi markah berdasarkan kriteria tanpa sebarang bias atau ketidakadilan.

Begitu juga dengan penilaian terhadap aktiviti di sekolah yang dianggap wujudnya ketidaksaramarataan dan ketidakadilan apabila guru-guru mempunyai ‘pilih kasih’ terhadap sesetengah pelajar.

Iklan
Iklan

Guru Panitia Bahasa Inggeris, Sekolah Kebangsaan (SK) Abdul Samat, Klang, Selangor, Mohd Haiqal Abdullah Chik berkata, atas dasar itulah punca dan permulaan pihak sekolah mewujudkan satu pentaksiran khas yang dinamakan sebagai Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kurikulum (PAJSK).

Guru-guru mewujudkan borang dan pentaksiran standard yang mampu diguna pakai oleh semua termasuk pelajar pelbagai aliran.

Iklan

"Jadi, daripada itu kita dapat hindari ketidakadilan dan ketidaksamarataan dalam proses pentaksiran. Kita ada rubrik khas yang kita rujuk terlebih dahulu sebelum memberi penilaian kepada para pelajar,” katanya yang juga merupakan Edufluencer Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Cikgu Haiqal

Jelas beliau, markah PAJSK kini boleh membantu pelajar memasuki sekolah berasrama penuh dan juga institusi pendidikan di Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Iklan

Baginya, selain meningkatkan kemahiran kognitif pelajar, markah PAJSK turut menyumbang terhadap potensi untuk menempatkan diri di sekolah-sekolah tertentu.

Ia juga membantu untuk Kementerian Pengajian Tinggi untuk membuat pemilihan pelajar yang akan masuk ke institusi pengajian tinggi awam.

"Saya juga dapat tahu bahawa markah PAJSK ini akan membantu pelajar yang ingin memohon biasiswa sukan. Mungkin selepas ini, atlet sekolah akan lebih cakna mengenai perkara ini,”ujarnya.

REAKSI

"PAJSK memberi impak besar kepada pelajar dengan membentuk sahsiah, kepimpinan dan semangat kerjasama melalui aktiviti kokurikulum. Ia meningkatkan keyakinan diri, disiplin, kecergasan fizikal serta kreativiti. Pentaksiran memastikan mereka berkembang secara holistik, cemerlang dalam akademik dan sahsiah sekali gus melahirkan generasi berkualiti." - Guru Besar SK Abdul Samat, Rozana Adam

"Sebagai ibu yang mempunyai anak masih bersekolah, PAJSK sangat menarik dan ia sesuai dalam mendepani cabaran didikan generasi Z. PAJSK boleh membuatkan anak-anak fokus dengan aktiviti kokurikulum di samping mengasah soft skills mereka sambil mendapatkan markah berdasarkan pencapaian dalam setiap penyertaan." - Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Makmal Perkembangan Kanak-kanak, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Nurhayatul Nira Ramli