Ibu bapa kepada 1,857 murid golongan B40 di Sabah, boleh menarik nafas lega apabila sebahagian kelengkapan bagi menghadapi sesi persekolahan pada Februari nanti sudah tersedia menerusi agihan barangan keperluan persekolahan oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO).
Program tahunan Forces of Love (FOL-Educare) yang berlangsung sejak Disember lalu, mengagihkan barangan kelengkapan sekolah kepada murid di 15 sekolah rendah di kawasan pedalaman termasuk Tenom, Nabawan dan Pulau Banggi, Kudat.
Menurut kenyataan NGO itu, program tersebut adalah satu kerjasama pintar antara FOL dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) yang bertujuan membantu murid dari keluarga kurang mampu dengan menyediakan keperluan sekolah yang asas.
"Setakat ini, seramai 1,857 dipilih menerima bantuan berkenaan dan pemilihan dilakukan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) berdasarkan garis panduan iaitu penerika adalah mereka yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah.
"Dalam agihan itu, setiap murid menerima satu set kelengkapan mengandungi beg sekolah, sepasang kasut dan stokin, alat tulis, pensel warna, baju hujan, botol air serta beg cenderahati.
"Bagi murid Tahun Lima dan Enam pula, mereka turut menerima kamus dwibahasa dan set geometri untuk kegunaan dalam sesi pembelajaran," maklumnya dalam kenyataan baru-baru ini.
Untuk rekod, jumlah peruntukan bagi sumbangan ini adalah sebanyak RM334,260 dengan kos setiap set bernilai kira-kira RM180, di mana dana itu adalah hasil daripada inisitif bersama menerusi pembiayaan awam dari ahli dan juga penaja FOL.
Sementara itu, sebagai inisiatif memberi kesedaran kepada murid mengenai keselamatan termasuk di kawasan sekolah, FOL dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah turut melaksanakan kempen keselamatan kebakaran di beberapa sekolah terpilih.