56 sekolah di Seberang Perai Selatan akan ada 'smartboard' tahun ini!

Iklan
Ahmad Fuzi (dua dari kiri) menyaksikan Pengerusi Kumpulan Penggerak Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (KPIBKS) Seberang Perai Selatan, Datuk Mohamaed Sani Bakar (kiri) menyampaikan replika 'smartboard' kepada Pegawai Pendidikan Daerah Seberang Perai Selatan, Mohd Rizal Ismail (kanan) pada Majlis Makan Malam Amal bersama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Ahad. Turut hadir, Wan Sajiri (dua dari kanan).

Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang komited memastikan 56 sekolah di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) mempunyai sekurang-kurangnya sebuah smartboard tahun ini, bagi tujuan meningkatkan keupayaan guru terhadap penggunaan teknologi pendidikan.

Pengarahnya, Wan Sajiri Wan Hassan berkata, penggunaan papan pintar digital itu mampu membuatkan proses pembelajaran lebih interaktif, berkesan dan melancarkan perkembangan pendidikan dalam kalangan murid.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, inisiatif ini sekali gus boleh memperkasakan murid dengan kemahiran digital yang diperlukan untuk bersaing dalam era digital masa kini.

"Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menghadapi cabaran dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran pada era moden ini.

Iklan

"Oleh itu, KPM mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan Dasar Pendidikan Digital sebagai panduan semua pihak bagi menyesuaikan diri dengan kemajuan teknologi.

"KPM juga menggalakkan semua pihak memanfaatkan teknologi bagi memperkasakan lagi sistem pendidikan negara," katanya dalam ucapan pada Majlis Makan Malam Amal bersama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, Pulau Pinang pada Ahad.

Iklan

Dalam pada itu, Wan Sajiri memuji kerjasama pintar antara Kumpulan Penggerak Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (KPIBKS) Seberang Perai Selatan bersama rakan strategik Pejabat Pendidikan Daerah menganjurkan majlis itu bertujuan mengutip dana untuk disalurkan kepada sekolah-sekolah di daerah itu.

Beliau berkata, usaha itu membuktikan komitmen semua pihak dalam membantu memacu agenda pendidikan negara.

"Objektif utama majlis ini adalah untuk mengumpul dana bagi menyokong aktiviti dan program KPIBKS selain membekalkan sekurang-kurangnya sebuah smartboard kepada semua sekolah di daerah SPS," katanya. - Bernama