Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak berkompromi dalam isu trend penggunaan rokok elektronik atau vape membabitkan pelajar sekolah dengan 20,000 golongan itu dilaporkan terjebak kegiatan tersebut tahun lalu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementeriannya akan melaksanakan langkah proaktif bagi mengekang gejala berkenaan dengan mengambil kira pandangan semua pihak.
"Isu telah dibangkitkan dalam Dewan Rakyat kelmarin dan kita telah pun memberikan jawapan dengan tuntas bahawa tidak akan berkompromi dalam soal vape kerana ternyata kesannya sangat besar kepada anak-anak kita.
"Oleh itu, selain memberikan kesedaran dan juga berkaitan dengan tindakan disiplin, kita juga mengambil langkah-langkah proaktif bagi mengekang gejala vape daripada terus berleluasa dalam kalangan anak-anak.
"Saya pasti Ketua Pengarah juga antara mereka yang cukup komited melaksanakan proses-proses ini khususnya menyampaikan penegasan di peringkat JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) dan sekolah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program Intan Minister's Conversation: Pendidikan Menyemai Kepimpinan, Membentuk Generasi Hadapan di INTAN Kampus Wilayah Selatan, Kluang, Johor pada Khamis.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, tindakan kerajaan tidak mengharamkan vape tidak bermakna kerajaan mengambil mudah dan tidak bertanggungjawab dalam isu itu.
Ujarnya, perkara ini sememangnya menjadi komitmen bersama KPM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mempunyai pandangan dan sikap yang tegas dalam soal ini.
"Apatah lagi ia melibatkan kesihatan komuniti dan juga keterlibatan anak-anak murid dalam aspek ini...jadi saya tidak fikir ia adalah satu pendirian yang tidak bertanggungjawab," katanya.