Luar negara: Lebih 240 guru Korea Selatan bertindak jual soalan peperiksaan

Iklan
(Gambar hiasan)

Lebih 240 guru sekolah awam dan swasta di Korea Selatan didapati menjual soalan peperiksaan percubaan kepada akademi swasta, memperoleh sekitar 21.3 bilion won (RM65.7 juta) dalam tempoh enam tahun, menurut juruaudit negara pada Selasa.

Mengeluarkan laporan mengenai pakatan sulit di antara pendidik awam dan swasta, Lembaga Audit dan Pemeriksaan (BAI) menyatakan bahawa seramai 249 guru itu menjual soalan peperiksaan antara tahun 2018 hingga Jun 2023, sekali gus memperoleh purata 85 juta won (RM262,453.93) setiap seorang, lapor Agensi Berita Yonhap.

Iklan
Iklan

BAI turut memaklumkan, pihaknya telah meminta tindakan tatatertib terhadap 29 guru yang didapati melakukan salah laku serius termasuk lapan guru sekolah awam dan 21 guru sekolah swasta, selain meminta kementerian pendidikan mengambil langkah sewajarnya terhadap baki 220 guru dengan penyelarasan pihak berkuasa pendidikan tempatan.

Menurut audit, urus niaga ini lazimnya bermula apabila sekolah swasta mendapatkan senarai penulis buku teks EBS atau menggunakan hubungan peribadi untuk menghubungi guru yang berkemampuan menghasilkan ujian percubaan.

Iklan

Institusi dan guru kemudiannya menetapkan harga berdasarkan jenis dan tahap kesukaran soalan.

Sebahagian daripada guru terbabit didapati membocorkan teks EBS sebelum diterbitkan dan menggunakan soalan yang sama yang telah dijual kepada sekolah swasta dalam peperiksaan sekolah, manakala yang lain menyertai ahli jawatankuasa soalan Ujian Keupayaan Skolastik Kolej (CSAT) meskipun berurusan tanpa kebenaran dengan akademi swasta.

Iklan

BAI turut mengumumkan langkah yang telah diambil berhubung kontroversi seorang profesor tempatan yang menggunakan semula teks EBS tanpa kebenaran dalam peperiksaan bahasa Inggeris CSAT 2023.

Audit itu menggesa universiti profesor berkenaan mengeluarkan amaran terhadapnya dan meminta Korea Institute for Curriculum and Evaluation (KICE) mengambil tindakan tatatertib, termasuk pemecatan atau penggantungan tugas, terhadap tiga pegawainya yang mengetepikan aduan pelajar. - Bernama