Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pertanian tidak pernah dipinggirkan, sebaliknya kerajaan memberi jaminan TVET bagi bidang itu akan terus diperkasakan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara (MTVETN) berkata, kadar kebolehpasaran graduan TVET secara purata nasional kini mencecah 94.5 peratus, manakala graduan daripada institusi TVET di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) pula pada kadar 98.7 peratus dan bidang pertanian mencatatkan 80 peratus.
"Kerajaan tidak pernah meminggirkan sektor TVET pertanian...insya-ALLAH, kita akan berikan tumpuan yang lebih supaya perkembangan bidang TVET berasaskan pertanian dan bukan pertanian dapat diperkasakan.
"Saya bersama MTVETN akan meneliti perkara ini supaya bakat seperti juruteknik dan jurutera pertanian dapat disantuni dan berikan keutamaan," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) berhubung hala tuju dan perancangan kerajaan untuk perkasakan TVET pertanian susulan bilangan graduan TVET pertanian yang dilahirkan setiap tahun hanya sebanyak 600 orang.
Sementara itu, Ahmad Zahid menegaskan sistem pengajian TVET adalah 'buta warna' kerana pengambilan masuk pelajar ke bidang itu tidak hanya tertumpu kepada golongan pelajar yang kurang menyerlah dalam akademik malah terbuka kepada mereka yang cemerlang akademik.
Beliau berkata, dengan penyediaan ekosistem TVET termasuk kadar kebolehpasaran graduan dalam industri menjadikan bidang itu kini menjadi pilihan utama dalam kalangan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Pendekatan KPM (Kementerian Pendidikan) dalam bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) berjaya, namun minat dalam kalangan pelajar agak kurang, jadi jawapannya adalah melalui TVET.
"Pada tahun 2023, lebih 10,000 calon SPM berdaftar dan tahun lepas, lebih 8,000 calon berdaftar tidak hadir menduduki SPM, justeru kita memberikan peluang kedua kepada mereka melalui TVET...kita tak mahu jadikan TVET sebagai pilihan kedua, sebaliknya yang pertama pelajar," katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) berhubung dasar kerajaan bagi memastikan bidang TVET menjadi pilihan utama bagi golongan yang kurang menyerlah dalam akademik. - Bernama