UDA Holdings Berhad (UDA) melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Cares - Educational menyalurkan sumbangan 13 unit televisyen pintar (Smart TV) kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Dihilir Ekram, Ipoh, Perak.
Sumbangan bernilai RM22,100 itu merupakan komitmen UDA selaku syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam membantu memperkasa ekosistem pendidikan digital di negara ini.
Pengerusi UDA, Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, pemantapan pendidikan digital merupakan inisiatif UDA dalam menyokong pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital untuk melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing.
Menurutnya, ia juga selari dengan saranan Perdana Menteri yang mahu syarikat-syarikat kerajaan menyediakan peruntukan bagi projek pembangunan yang bermanfaat kepada warga sekolah.
"Apabila UDA berbincang dengan pihak sekolah, mereka minta Smart TV.
"Kita realisasikan kerana ia merupakan salah satu instrumen pendidikan yang terkini untuk membangunkan minat pelajar dalam kaedah pembelajaran yang lebih berteknologi daripada hari ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Program UDA Cares-Educational; Majlis Penyerahan Smart TV kepada SK Raja Dihilir Ekram pada Khamis.
Hadir sama Pengarah Pendidikan Perak, Safuan Raba'ai dan Pengarah Pertanian Perak, Norsiyenti Othman.
Kesemua Smart TV berukuran 55 inci itu ditempatkan di 10 bilik darjah merangkumi kelas prasekolah, kelas aliran perdana, kelas Program Pendidikan Khas Integrasi dan tiga bilik khas termasuk kelas Program Pemulihan Khas, bilik mesyuarat dan pusat sumber sekolah berkenaan.
Sementara itu, Mohd Annuar berkata, UDA sedang bekerjasama dengan Jabatan Pertanian negeri untuk membangunkan projek tanaman hidroponik di bawah program pertanian bandar di sekolah tersebut.
Katanya, program itu diperkenalkan untuk menyemai kesedaran dalam kalangan pelajar pentingnya subjek keterjaminan makanan serta membimbing pelajar menanam minat membudayakan diri dalam kegiatan penghasilan makanan.
Beliau berkata, tumpuan turut diberikan terhadap pembangunan sukan tempatan melalui penyediaan platform bagi atlet muda berbakat yang kurang mempunyai kemampuan kewangan menerusi sukan boling di salah sebuah kompleks beli-belah milikan UDA iaitu Angsana Ipoh Mall.
"Satu program sedang dirangka untuk mengenal pasti bakat dan memperkasakan pembangunan sukan boling dalam kalangan murid asnaf di sekitar Ipoh.
"Program ini digerakkan dengan kerjasama yang baik dengan Jabatan Pendidikan, Jabatan Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negeri, Yayasan Perak dan Lite Superbowl JB9," katanya.
Sehingga kini, seramai 502 pelajar memerlukan sudah dibantu menerusi Program UDA Cares; Back To School 2025 yang telah diadakan di Johor Bahru, Johor; Sandakan, Sabah dan Lanchang, Pahang.