Agrobank sasar 30 sekolah PPKI laksana program ternak ikan

Iklan
Tengku Ahmad Badli Shah (dua dari kanan) menyerahkan replika cek kepada Pengetua SMK Meranti, Mohammad Razuki Derahman (kiri) dalam Majlis Perasmian Program Pelepasan Anak Ikan Aquaculture Aspire Agrobank pada Ahad.

Agrobank menyasarkan pembiayaan 30 sekolah yang mempunyai pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) bagi melaksanakan projek ternakan ikan dalam usaha membantu memperkasa pendidikan khas negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, inisiatif tanggungjawab sosial korporat melalui program Aquaculture Aspire itu bertujuan memberi peluang kepada pelajar pendidikan khas mempelajari teknik penternakan ikan secara moden menggunakan teknologi berimpak tinggi.

Iklan
Iklan

"Tahun lalu, kami peruntukan 10 sekolah bagi program ini, namun atas permintaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pihak sekolah, kami menambah lagi 10 sekolah tahun ini menjadikan jumlah keseluruhan 20 sekolah.

"Selain itu, terdapat lebih 100 sekolah yang disenaraikan oleh kementerian untuk dipertimbangkan dan kami akan berusaha untuk menambah jumlah sekolah yang menerima manfaat,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Program Pelepasan Anak Ikan Aquaculture Aspire Agrobank di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meranti, Pasir Mas, Kelantan pada Ahad.

Iklan

Beliau berkata, Agrobank akan terus memperluaskan program tersebut ke lebih banyak sekolah di seluruh negara khususnya di kawasan luar bandar bagi membantu pelajar kurang bernasib baik memperoleh kemahiran dan pengetahuan dalam bidang akuakultur moden.

Menurutnya, program Aquaculture Aspire menggunakan teknologi akuakultur pintar yang memerlukan penyelenggaraan minimum dan kaedah yang membolehkan ikan membesar dalam tempoh tiga hingga tiga setengah bulan, tanpa perlu menukar air sehingga ikan matang.

Iklan

"Kami memulakan projek ini dengan ternakan ikan tilapia kerana spesies itu tahan lasak dan mempunyai kadar tumbesaran yang cepat.

Antara pelajar PPKI SMK Meranti yang terlibat dalam projek ternakan ikan.

"Sebagai contoh, ikan yang dilepaskan hari ini bersaiz antara tiga hingga empat inci dan dijangka mencapai berat tiga ekor untuk setiap kilogram dalam tempoh tiga bulan," katanya.

Tambah beliau, dengan anggaran 1,500 ekor anak ikan dilepaskan, dijangka menghasilkan kira-kira 450 hingga 480 kilogram ikan yang boleh dijual atau dimanfaatkan oleh sekolah.

Harga pasaran semasa bagi ikan tilapia dianggarkan antara RM10 hingga RM12 sekilogram.

"Selain memberi pendedahan kepada pelajar pendidikan khas, program ini juga dilengkapi dengan teknologi Internet of Things (IoT) bagi memantau tahap keasidan air dan kualiti makanan ikan.

"Sistem ini disambungkan ke telefon pintar guru bertanggungjawab bagi memudahkan pemantauan dan penyelenggaraan secara automatik," kata Tengku Ahmad Badli Shah.

Dalam pada itu, Tengku Ahmad Badli Shah memberitahu, Agrobank turut menyampaikan sumbangan bernilai RM30,000 kepada sekolah yang terjejas akibat banjir untuk menggantikan peralatan teknikal yang musnah.

"Kami difahamkan peralatan kelas teknikal di sekolah ini rosak teruk akibat banjir hujung tahun lalu, dengan kerugian dianggarkan mencecah RM100,000.

"Oleh itu, kami berusaha membantu menggantikan peralatan ini agar pelajar dapat meneruskan pembelajaran,” katanya.