Anak Kita bantu pelajar SPM lemah subjek Bahasa Melayu & Sejarah

Iklan
Nooraini (tiga dari kiri) menyampaikan plakad penerimaan tablet kepada Mat Lazim.

Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang lemah dalam subjek Bahasa Melayu dan Sejarah di Kelantan, bakal mendapat manfaat melalui Program Anak Kita: SPM 2025.

Perunding Kanan Unit Peneraju Inovasi Sosial dan Pemindahan Ilmu, Universiti Sains Malaysia (USM), Tuan Syed Yusof Syed Syed Kechik berkata, seramai 1,430 pelajar membabitkan 58 sekolah menengah di 10 daerah menjadi fokus dalam program itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kesemua pelajar dipilih dalam kategori bandar dan luar bandar.

"Mereka menerima tambahan pembelajaran di luar waktu persekolahan membabitkan nisbah 10 pelajar dengan satu guru pembimbing yang dilantik khas," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Program Anak Kita: SPM 2025 Dan Revolusi Intervensi Murid Bacaan Asas dan Mengira (Rimba) Serta Sesi Penyerahan Tablet Pendidikan Peringkat Negeri Kelantan pada Isnin.

Majlis dirasmikan Pengarah Pembangunan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia, Nooraini Kamaruddin.

Iklan

Hadir sama, Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Mat Mazim Mohammad.

TUAN SYED YUSOF

Beliau memberitahu, sesi pembelajaran adalah penggunaan teknologi digital yang diselaraskan oleh 51 guru pembimbing dalam kalangan mahasiswa USM.

Jelas beliau, kaedah pendidikan yang digunakan bertujuan menarik minat pelajar untuk lebih maju dan tidak ketinggalan dalam teknologi.

Dalam pada itu, Tuan Syed Yusof berkata, USM turut diberi mandat oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kewangan untuk melaksanakan program Revolusi Intervensi Murid Bacaan Asas dan Mengira (Rimba) yang membabitkan sekolah rendah.

Jelas beliau, seramai 5,420 murid dari Tahun Dua hingga Enam di 140 sekolah seluruh Kelantan yang dikenal pasti tidak boleh membaca dan mengira terlibat dalam program Rimba.

"Kaedah pembelajaran ialah mengikut jadual persekolahan dengan menggunakan khidmat guru sokongan pemulihan bersama seorang guru kelas," katanya.

Tuan Syed Yusof berkata lagi, pihaknya menyasarkan 13 bulan untuk proses intervensi yang diambil bagi melihat keberkesanan pelaksanaan pembelajaran berkenaan.