Pada 17 Februari lalu, tular satu video yang memaparkan seorang pelajar India menaiki paragliding menuju ke dewan sekolah gara-gara 'terlewat' untuk menduduki peperiksaan.
Difahamkan, Samarth Mahangde tidak menyedari bahawa berlakunya perubahan dalam jadual peperiksaan tersebut.
"Samarth menerima panggilan daripada rakannya yang sudah berada di dewan peperiksaan.
"Sahabatnya bertanya kenapa dia (Samarth) masih belum sampai," menurut laporan satu portal tempatan.
Samarth yang terkejut, mula mencari solusi untuk dia tiba ke lokasi peperiksaan yang akan berlangsung dalam 15 minit sahaja lagi.
Dengan jarak 15 kilometer untuk dilalui dan kesesakan lalu lintas yang teruk, Samarth akui dia tidak mungkin sampai tepat ke destinasi dengan menaiki kereta.
Tanpa membuang masa, pelajar kolej ini menemui pakar payung terjun tempatan, Govind Yewale untuk meminta bantuan.
Dengan bantuan Govind, Samarth akhirnya berjaya sampai ke dewan peperiksaan dalam masa hanya 5 minit.
Biarpun kertas soalan sudah diedarkan, dia masih tetap dibenarkan masuk dan menjawab peperiksaan.
Walaupun cara yang dilakukan Samarth membahayakan diri (menggunakan payung terjun), namun tindakannya mencerminkan keberanian dan semangat untuk menduduki peperiksaan sekali gus meraih keputusan cemerlang.
Namun perlu diingat keberanian semata-mata tidak mencukupi tanpa perancangan dan langkah keselamatan yang betul.
Menggunakan payung terjun memerlukan latihan, pengetahuan teknikal dan persediaan rapi bagi mengelakkan sebarang risiko yang boleh membahayakan nyawa.