Setiap kali Ramadan menjelang, permintaan terhadap khidmat imam solat tarawih meningkat khususnya di masjid dan surau seluruh negara.
Menyedari keperluan itu, Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA) mengambil inisiatif menganjurkan bengkel persediaan imam tarawih bertujuan melatih dan membimbing pelajar.
Presidennya, Mohd Zahid Mahmood berkata, ia bukan sahaja memberi fokus kepada aspek hafazan dan tajwid tetapi melatih pelajar dalam bacaan berlagu, keyakinan diri serta adab sebagai imam.
Dengan bimbingan tenaga pengajar berpengalaman, program ini bertujuan melahirkan imam muda yang berkualiti dan mampu memimpin solat dengan penuh tertib serta khusyuk sepanjang Ramadan.
"Kursus ini untuk memartabatkan lagi institusi tahfiz yang menghantar imam-imam tarawih dalam kalangan pelajar.
"Kita anjurkan bengkel ini pun untuk lihat adakah mereka menepati kehendak pihak masjid atau surau serta ahli jemaah.
"Ada ahli jemaah yang sudah berusia, ada yang masih muda. Jadi, pelajar tahfiz ini perlu tahu cara untuk menjadi imam supaya tidak dipersoalkan oleh masyarakat setempat," katanya secara eksklusif bersama Sinar Bestari.
Ditanya mengenai jumlah tahfiz yang ada di negara ini, Mohd Zahid memaklumkan sebanyak 1,269 institusi itu telah berdaftar di seluruh negara setakat tahun 2023.
Disebabkan pelajar tahfiz mendapat permintaan untuk menjadi imam di masjid mahupun surau komuniti, Mohd Zahid berharap agar pihak institusi tahfiz mahupun sekolah agama menghormati program yang dijalankan sepanjang Ramadan.
Ini kerana, Presiden PINTA berkenaan menerima aduan bahawa pihak sekolah tidak hadir ke program pada minit-minit terakhir.
"Perkara ini sebenarnya memburukkan nama sekolah mahupun maahad tahfiz. Walaupun seorang saja yang buat, namun tempiasnya kepada semua.
"Besar harapan pihak yang menjemput itu untuk kita hadir ke program mereka, ahli masjid mahupun ahli kariah mesti ternanti-nanti pelajar ini menjadi imam mereka.
"Janganlah batalkan di saat-saat terakhir. Susah juga mahu mencari pengganti dalam masa terdekat," katanya lagi.
Jadual khas sempena Ramadan
Ramadan bukan sekadar bulan berpuasa yang harus menahan lapar dan dahaga pada sebelah siang, namun ia merupakan waktu terbaik bagi memperbaiki disiplin diri serta meningkatkan amalan ibadah.
Menyedari kepentingan pengurusan masa yang baik, pentadbiran Maahad Tahfiz Al Quran Wal Qiraat Shah Alam (MTAQSA) mengambil inisiatif menyediakan jadual khas sempena Ramadan bagi memastikan keseimbangan antara akademik, ibadah dan aktiviti harian.
Apabila teraturnya jadual, pelajar dapat mengurus waktu dengan lebih efektif sekali gus memberi tumpuan kepada pembelajaran tanpa mengabaikan ibadah seperti tadarus al-Quran, solat tarawih dan amalan kebajikan.
Ia bukan sahaja membantu dalam akademik, malah membentuk keperibadian pelajar lebih berdisiplin dan produktif sepanjang bulan ini.
Timbalan Pendaftaran MTAQSA, Nurul Hanna Mohammad Bokhari berkata, kelas tambahan dan sesi ulang kaji juga dilaksanakan sebelum waktu asar bagi memastikan pelajar tidak terlepas daripada aktiviti ibadah lain.
Kongsinya, pelajar akan mula tadarus al-Quran selepas asar sehingga waktu solat tarawih di Masjid Negeri.
"Apabila pelajar selesai tadarus al-Quran 30 juzuk pada 25 Ramadan, pihak sekolah akan mengadakan Majlis Khatam Tadarus al-Quran.
"Majlis ini akan digabungkan dengan berbuka puasa yang mana imam tarawih terdiri daripada ustaz jemputan, alumni dan pelajar MTAQSA,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif dan Pengasas Sekolah Rendah Islam Integrasi Puncak Jalil, Datuk Sheikh Mohd Zaki Sheikh Abdul Rahman berkata, kesihatan pelajar sepanjang Ramadan menjadi keutamaan pihak sekolah terutama murid yang masih kecil dan tidak biasa berpuasa.
"Pihak sekolah menstrukturkan jadual aktiviti harian pelajar dan guru yang bersesuaian dengan bulan puasa seperti pengecualian aktiviti sukan, kurangkan program luar kelas dan jadual anjal waktu sekolah dipendekkan.
"Bagi pelajar Tahun 1 yang masih dalam proses latihan berpuasa turut diberikan peluang untuk mengikut keupayaan masing-masing secara berperingkat," katanya.
REAKSI
1) Tenaga pengajar perlu urus jadual bagi memastikan pelajar kekalkan momentum dan fokus tasmik hafazan al-Quran serta ulangan hafazan. Kami berharap agar pelajar istiqamah dalam mengerjakan amalan sepanjang Ramadan." - Guru MTAQSA, Siti Farah Mohd Ali
2) Pelajar disajikan dengan program tayangan perdana kisah nabi serta tokoh ilmuwan Islam. Pertandingan peringkat sekolah seperti tilawah, hafazan, bercerita, seni khat, kaligrafi juga disediakan dalam kalangan pelajar." - Guru Sekolah Rendah Islam Integrasi Puncak Jalil, Syafieka Nadia Mohd Nazri
FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR