Tragedi Ramadan: Pelajar KV maut selepas bantu ayah di bazar

Iklan
Lokasi nahas yang meragut nyawa pelajar KV Kota Tinggi, Johor. Gambar kecil: Allahyarham Nurasyraf Afif.

"Dia rajin membantu di bazar Ramadan sebab ayahnya sudah berusia dan tidak larat mengangkat barang berat," ujar Nor Hasmidah Hassim, 50.

Guru Matematik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tenggara, Johor telah kehilangan anak keempatnya, Nurasyraf Afif Abdul Ghafar, 20, yang juga seorang pelajar Kolej Vokasional (KV) Kota Tinggi dalam nahas dua kereta di Batu 4, Jalan Kota Tinggi pada pagi Selasa.

Iklan
Iklan

Kejadian pada kira-kira pukul 8 pagi itu, mengorbankan Nurasyraf Afif yang memandu kereta Perodua Kancil dan penumpang kereta Nissan Almera, Zainab Abdullah, 68, manakala suaminya, Abas mohtar, 71, cedera parah.

Bercerita lanjut Nor Hasmidah berkata, malam sebelum kejadian, Allahyarham sempat membantu ayahnya menyiapkan tapak perniagaan jualan minyak wangi dan kosmetik di Bazar Ramadan Kluang hingga lewat malam.

Iklan

"Malam tadi (Isnin), dia temankan ayahnya ke Kluang untuk membuat persediaan membuka tapak niaga. Balik rumah pun dah jam 1 pagi.

"Nurasyraf memang rajin membantu perniagaan keluarga kerana suaminya sudah berusia dan tidak mampu mengangkat barang berat," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi.

Iklan

Akuinya, Allahyarham tidak ada menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian berlaku dan anaknya itu yang kini dalam semester terakhir.

"Selepas balik dari bazar, ayahnya sempat masak untuk mereka makan sahur bersama. Apabila dikejut untuk bersahur pada jam 5 pagi, dia tak mahu bangun sebab sudah makan bersama ayahnya.

"Biasanya, sebelum ke sekolah, saya memang akan kejut dan dia akan bangun sendiri," ujar Nor Hasmidah.

Nor Hasmidah memberitahu jenazah Nurasyraf Afif akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Semenchu selepas selesai urusan di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi.

Nor Hasmidah menunjukkan foto Allahyarham Nurasyraf Afif.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu kira-kira jam 8.10 pagi.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah Perodua Kancil memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah Nissan Almera yang dinaiki pasangan warga emas.

"Akibat perlanggaran itu, pemandu Perodua Kancil dan penumpang hadapan Nissan Almera yang juga seorang suri rumah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan pada Selasa.