Tadabbur dan Iftar: ikhlas.com agih 1,200 pek di UIAM

Iklan
Fazrul memberikan penerangan kepada peserta berbuka puasa.

Seramai 1,200 mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menyertai program iftar, Road to World #QuranHour: Panduan Surah Al-Saff untuk Pemimpin Masa Depan Ummah di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM, 13 Mac 2025.

ikhlas.com sebagai penyedia perkhidmatan Islamik seperti umrah, zakat, dan korban berkerjasama Pejabat Promosi dan Pengambilan Pelajar, (UIAM) dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) untuk menjayakan majlis berbuka beramai-ramai secara terbuka ini dengan memberi pengisian rohani.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Penyelidik (WUIF) Fazrul Ismail sebagai pentadabbur mengajak peserta untuk menghayati mesej Surah al-Saff yang berkaitan dengan kepimpinan dan tanggungjawab manusia di muka bumi. Surah al-Saff menjadi surah pilihan yang membawa tema #SavingTheUmmah pada World #QuranHour pada 25 Mac ini.

"Dalam Surah As-Saf, ayat 1 mengingatkan kita bahawa segala yang di langit dan di bumi telah bertasbih kepada ALLAH. Seluruh alam tunduk kepada peraturan ALLAH tanpa gagal. Namun, manusia dan jin diberi pilihan untuk tunduk dan bertasbih kepada ALLAH atau memilih jalan kebinasaan.

Iklan

"Menjadi pemimpin yang adil dan berintegriti, kita perlu memahami maksud sebenar tasbih, bukan sekadar lafaz zikir, tetapi kepatuhan kepada aturan ALLAH dalam kehidupan seharian. Kepimpinan sejati bermula dengan kesedaran untuk tunduk kepada aturan ALLAH, seperti mana alam semesta yang sentiasa bertasbih kepada-Nya.

"Jika kita benar-benar memahami maksud tasbih dan menghayatinya dalam kehidupan, kita akan menjadi pemimpin yang membawa kebaikan, bukan kehancuran. Semoga refleksi ini menjadi peringatan untuk kita semua dalam membentuk kepimpinan yang berasaskan nilai-nilai Islam dan ketakwaan kepada ALLAH SWT,” katanya.

Iklan

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata, sebanyak 1,200 pek Santan Nasi Lemak Pak Nasser, iaitu menu ikonik AirAsia, telah disediakan untuk berbuka puasa. Konsep makan berjemaah dapat mengeratkan ukhuwah dan menghidupkan sunnah Nabi SAW.

"Kerjasama ikhlas.com dan UIAM bermula sejak lima tahun dalam usaha kebajikan sempena Ramadan. Diasaskan semasa pandemik Covid-19, platform ini bermula sebagai inisiatif membantu masyarakat melalui kempen derma yang berjaya mengumpul RM2 juta.

"Kini, ikhlas.com berkembang dari segi entiti komersial dan organisasi dakwah. Dengan sokongan AirAsia sebagai pemegang saham utama, syarikat terus berkembang termasuklah pakej umrah,” ujarnya yang turut menyokong program World #QuranHour tahun ini.

Hadiah berupa pakej umrah melalui sesi kuiz yang dibawakan pihak ikhlas.com telah memberi kejutan kepada pemenangnya, pelajar UIAM, Nur Amirah Fakrul Arifin.

Pengarah Pejabat Promosi dan Pengambilan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Siti Aisyah Ibrahim berkata, program iftar UIAM dapat mengeratkan ukhuwah dan mengurangkan beban pelajar.

"Pelajar terutama mereka dari luar negara berkorban tinggalkan keluarga demi menuntut ilmu. Apabila dapat makan secara berjemaah, ia boleh membawa kegembiraan dan mewujudkan rasa kekeluargaan kepada mereka,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan mana-mana pihak untuk memberi sumbangan atau menaja juadah puasa bagi menyantuni golongan fisabilillah termasuk pelajar yang menuntut ilmu di jalan ALLAH.