1,482 kanak-kanak mendaftar di 71 buah sekolah Orang Asli

Iklan
Gambar hiasan (Bernama)

Seramai 1,482 kanak-kanak telah mendaftar di 71 buah sekolah Orang Asli setakat 17 Februari tahun ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) komited dalam memperluas pendidikan prasekolah sebagai sebahagian daripada agenda utama dalam Reformasi Pendidikan KPM dan setakat 17 Februari lepas, pihaknya berjaya menambah 130 kelas prasekolah di seluruh negara.

Iklan
Iklan

"Sememangnya prasekolah telah wujud di sekolah-sekolah di kawasan pedalaman perkampungan.

"Pada masa ini, sejumlah 98 buah sekolah Orang Asli dan daripada jumlah itu, 71 buah sekolah mempunyai 80 kelas prasekolah," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Manolan Mohamad yang ingin tahu sama ada kementerian bercadang untuk mewujudkan prasekolah di kawasan pedalaman perkampungan Orang Asli.

KAH WOH

Iklan

Menjawab soalan tambahan Manolan mengenai usaha memperluas akses pendidikan ke kampung-kampung Orang Asli khususnya bagi menangani masalah buta huruf dalam kalangan pelajar, Kah Woh berkata, fokus utama KPM adalah memastikan akses pendidikan dapat disediakan terlebih dahulu.

"Berkenaan dengan akses pendidikan kepada anak-anak Orang Asli di kawasan pedalaman, pihak KPM dalam beberapa tahun ini juga telah membuat peluasan bagi Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) dan Sekolah Komprehensif 11 (K11).

"Pada tahun ini, K11 telah diperluaskan untuk lima kelas lagi bagi memastikan anak-anak kita dapat menghadiri program dan pembelajaran di prasekolah, sekolah rendah dan menengah," katanya.

Kah Woh memaklumkan setakat tahun lepas, KPM telah mewujudkan 28 buah sekolah K9 dan dua sekolah K11. - Bernama