Semua pelajar di institusi bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diwajibkan memakai lencana Jalur Gemilang bermula 21 April 2025.
Menurut satu pekeliling kementerian itu yang dikeluarkan pada Khamis, garis panduan pemakaian lencana tersebut telah diluluskan oleh kabinet pada 14 Februari lalu.
Antara objektif penguatkuasaan pemakaian lencana berkenaan adalah meningkatkan semangat patriotisme, memupuk perpaduan dan menonjolkan identiti kebangsaan.
Malah, ia juga bagi mewujudkan sikap bertanggungjawab dan berdisiplin dalam diri pelajar serta warga pendidik.
"Inisiatif ini bertepatan dengan fungsi institusi pendidikan untuk menyemai rasa cinta akan negara dan menyuburkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda," katanya.
KPM akan membekalkan dua lencana Jalur Gemilang secara percuma kepada semua murid untuk sesi persekolahan 2025/2026.
Lencana tersebut perlu dipakai pada pakaian seragam murid seperti baju prasekolah, baju kemeja, baju kurung dan pinafore.
Bagi murid beragama Islam, lencana perlu dipakai pada tudung dan baju Melayu.
Pakaian sukan, pakaian batik dan baju korporat kolej vokasional juga tersenarai dalam pakaian seragam yang perlu mengenakan lencana ini.