Polis mengesahkan video membabitkan seorang pelajar dibuli rakan-rakannya yang tular pada Isnin, berlaku di sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Pulau Pinang.
Timbalan Ketua Polis Daerah SPS, Deputi Superintenden Mohd Norazmi Abd Ghapar ketika dihubungi berkata, kejadian terbabit berlaku pada pertengahan tahun lepas.
Beliau berkata, polis telah menjalankan siasatan awal berhubung video tular itu dan ketika ini pihaknya telah mengenal pasti tujuh pelajar termasuk mangsa yang terlibat dalam kejadian berkenaan.
"Berdasarkan siasatan awal, kejadian membabitkan video tular itu berlaku pada pertengahan tahun lepas dan pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut.
"Namun, kejadian dipercayai berlaku akibat ejek-mengejek antara mereka dan setakat ini tiada laporan polis dibuat sehinggalah ia tular," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran dalam aplikasi X mengarahkan supaya siasatan terperinci dilakukan dan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi sekiranya kejadian tersebut terbukti berlaku.
"Pagi tadi (Isnin) saya menerima mesej yang ditularkan dalam sebuah laman sosial berkenaan insiden buli yang dikatakan berlaku di sebuah MRSM. Saya telah pun mengarahkan pihak pengurusan MARA dan Bahagian Pendidikan Menengah untuk melakukan siasatan segera.
"Hasil daripada siasatan terbabit...memang benar peristiwa buli itu berlaku di sebuah MRSM di utara tanah air.
"Saya telah mengarahkan siasatan terperinci dilakukan dan dalam proses siasatan ini, pelajar-pelajar yang terbabit mestilah digantung terlebih dahulu agar tidak mengganggu siasatan dan memberikan mesej yang jelas bahawa kita tidak boleh berkompromi dalam isu terbabit," katanya.
Asyraf Wajdi turut menegaskan bahawa MARA sama sekali tidak berkompromi dengan sebarang perbuatan atau budaya buli sama ada dalam bentuk fizikal atau mental berlaku di mana-mana institusi pendidikan itu, malah, beliau juga sering mengingatkan kepada semua pelajar mengenai prinsip You Touch, You Go.
"MARA ialah medan untuk kita melahirkan pemimpin. Mana mungkin kita nak melahirkan pemimpin yang dangkal akal budinya dan tercemar adab dan perilaku akhlaknya," katanya.
Terdahulu, tular rakaman video berdurasi satu minit 32 saat memaparkan sekumpulan pelajar lelaki menghempap kepala dan badan seorang pelajar lain dalam keadaan tertiarap di atas katil, selain turut dilihat disebat dengan tali pinggang pada bahagian punggung. - Bernama