Sekolah ditutup, penduduk dipindahkan susulan letusan gunung berapi di Filipina

Iklan

Sebuah gunung berapi di tengah Filipina meletus pada pagi Selasa, memuntahkan kepulan abu dan serpihan serta memaksa pihak berkuasa menutup sekolah dan memindahkan penduduk berdekatan, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Letusan berlaku di kawah puncak Gunung Berapi Kanlaon pada 5.51 pagi (2151 GMT Isnin), menurut Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs).

Iklan
Iklan

"Letusan itu menghasilkan kepulan asap tebal setinggi 4,000 meter yang bergerak ke arah barat daya," menurut agensi itu dalam satu kenyataan.

Hujan abu dilaporkan di bandar dan pekan berdekatan, menyebabkan penutupan sekolah dan pihak berkuasa penerbangan mengeluarkan amaran kepada juruterbang untuk menjauhi kawasan itu.

Iklan

Pengarah Wilayah Pejabat Pertahanan Awam, Raul Fernandez berkata, pemindahan dilakukan di luar zon bahaya sejauh enam kilometer.

Pada Disember 2024, letusan Gunung Kanlaon memaksa 8,000 penduduk meninggalkan rumah mereka.

Iklan

Tahap amaran gunung berapi itu pada tahap 3, yang bermaksud"tahap pergolakan gunung berapi yang tinggi".

Ketua Phivolcs, Teresito Bacolcol bagaimanapun berkata, tiada keperluan untuk meningkatkan tahap amaran.

Bacolcol memberi amaran kepada penduduk untuk mengambil langkah berjaga-jaga terhadap hujan abu, yang boleh memburukkan lagi penyakit pernafasan.

"Jika anda mempunyai masalah paru-paru, gejala boleh menjadi lebih teruk kerana abu gunung berapi terdiri daripada batuan kecil yang pecah, mineral dan partikel vulkanik yang halus," katanya.

Kanlaon, gunung berapi setinggi 2,435 meter, adalah antara gunung berapi paling aktif di Filipina. Pada tahun 1996, tiga pendaki maut berhampiran puncak apabila gunung berapi itu meletus tanpa amaran. - Bernama-dpa