Setiap penjawat awam di Malaysia berkhidmat di bawah satu sistem yang teratur dan tersusun dikenali sebagai skim perkhidmatan.
Skim ini bukan sahaja menentukan bidang tugas dan tanggungjawab seseorang kakitangan kerajaan, malah ia juga memainkan peranan penting dalam aspek kenaikan pangkat, penilaian prestasi serta pembangunan kerjaya jangka panjang.
Bagi memastikan pentadbiran awam berjalan secara cekap dan profesional, setiap jawatan yang ditawarkan dalam sektor kerajaan diklasifikasikan mengikut skim tertentu berdasarkan fungsi, kelayakan dan peranan yang dimainkan.
Maka, adalah penting bagi individu yang sedang berkhidmat atau bercita-cita menyertai sektor awam untuk memahami struktur dan jenis-jenis skim perkhidmatan yang wujud.
Skim perkhidmatan merupakan satu sistem klasifikasi yang mengkelaskan jawatan-jawatan berdasarkan bidang tugas, kelayakan akademik dan skop kerja tertentu.
Ia diwujudkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi memastikan struktur perjawatan kerajaan lebih sistematik dan berkesan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.
Terdapat pelbagai skim perkhidmatan dalam kerajaan yang merangkumi bidang pentadbiran, pendidikan, kesihatan, keselamatan dan lain-lain.
Sinar Bestari kongsikan beberapa jenis skim perkhidmatan yang ada dalam kerajaan Malaysia.
1) Skim Perkhidmatan Pengurusan dan Profesional
Skim ini terdiri daripada jawatan yang memerlukan kelayakan akademik di peringkat ijazah sarjana muda atau lebih tinggi.
Ia merangkumi pegawai-pegawai yang terlibat dalam tugas perancangan, dasar dan pengurusan perkhidmatan kerajaan.
Antara jawatan dalam skim ini termasuk:
- Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD)
- Akauntan
- Pegawai Teknologi Maklumat
- Pegawai Undang-Undang
Skim ini memainkan peranan penting dalam merangka dasar, mentadbir organisasi kerajaan serta memastikan operasi sektor awam berjalan lancar mengikut peraturan yang ditetapkan.
2) Skim Perkhidmatan Sokongan
Skim Perkhidmatan Sokongan adalah kategori jawatan dalam kerajaan yang menyokong fungsi utama sektor awam.
Jawatan dalam skim ini biasanya memerlukan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) atau diploma bergantung pada bidang tertentu.
Contoh jawatan dalam skim ini termasuk:
- Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi)
- Pembantu Kesihatan Awam
- Pembantu Akauntan
- Juruteknik
Peranan utama pegawai dalam skim ini adalah untuk membantu melaksanakan tugas-tugas operasi dan teknikal bagi memastikan perkhidmatan awam berjalan dengan cekap.
3) Skim Perkhidmatan Pendidikan
Skim ini melibatkan semua jawatan berkaitan bidang pendidikan dan latihan di sekolah serta institusi pendidikan awam.
Jawatan ini dikawal selia oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan JPA.
Antara jawatan utama dalam skim ini termasuk:
- Guru Sekolah Rendah dan Menengah (DG41 – DG54)
- Pensyarah Politeknik dan Kolej Komuniti
- Pegawai Latihan Vokasional
Guru dan pensyarah dalam sektor awam memainkan peranan penting dalam membentuk modal insan negara serta memastikan sistem pendidikan negara berkembang mengikut keperluan global.
4) Skim Perkhidmatan Kesihatan
Skim Perkhidmatan Kesihatan merangkumi jawatan dalam sektor perubatan, farmasi dan perkhidmatan kesihatan lain yang dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Jawatan utama dalam skim ini termasuk:
- Pegawai Perubatan
- Pegawai Farmasi
- Jururawat
- Penolong Pegawai Perubatan
Skim ini penting bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti yang dikendalikan oleh tenaga kerja yang kompeten dalam sektor awam.
5) Skim Perkhidmatan Keselamatan dan Pertahanan
Skim ini merangkumi jawatan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Ia bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan, pertahanan dan ketenteraman awam negara.
Antara jawatan utama dalam skim ini termasuk:
- Pegawai Tentera
- Pegawai Polis
- Pegawai Penjara
- Pegawai Bomba
Pegawai dalam skim ini menjalani latihan ketat dan mempunyai disiplin tinggi bagi memastikan keselamatan negara sentiasa terjamin.
Secara keseluruhannya, skim perkhidmatan dalam sektor awam bukan sahaja mencerminkan kepelbagaian fungsi dalam pentadbiran negara, malah turut menjadi tulang belakang kepada kemajuan dan kestabilan Malaysia.
Dengan adanya klasifikasi yang jelas dan tersusun, setiap penjawat awam dapat melaksanakan tanggungjawab mereka secara lebih fokus, berkesan dan profesional dalam bidang masing-masing.
Sumber: Portal Sistem Guru Online