Pelajar Institut Pendidikan Mara (IPMa) yang terlibat dengan masalah sosial termasuk penyalahgunaan internet untuk tujuan tidak bermoral akan dibuang serta-merta.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, amaran tegas itu penting dalam memastikan capaian internet berkelajuan tinggi yang kini diperluaskan ke institusi Mara itu digunakan secara beretika dan tidak menjerumus kepada unsur negatif.
"Kita akan memastikan internet berkelajuan tinggi ini tiada elemen seksual di antara pengguna atau pelajar di sini.
Sekiranya ada, saya arahkan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi untuk membuang pelajar tersebut,” katanya semasa berucap dalam Majlis Amazing Syawal Universiti Poly-Tech MARA (UPTM) pada Khamis.
Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa akses kepada kemudahan digital perlu seiring dengan pembangunan sahsiah dan disiplin, selari dengan matlamat melahirkan generasi profesional yang bermoral tinggi.
Sementara itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengingatkan bahawa keutamaan bukan sekadar menyediakan internet yang pantas dan meluas tetapi juga memastikan penggunaannya selamat dan bertanggungjawab.
"Internet yang laju, meluas dan murah belum mencukupi. Yang lebih penting adalah internet yang selamat,” katanya.
Fahmi berkata demikian merujuk kepada peningkatan kes jenayah seksual melibatkan remaja dan penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
"Sebelum ini, kita digemparkan dengan laporan Ketua Polis Kelantan bahawa kes rogol dan sumbang mahram meningkat kepada 252 kes sepanjang 2024 berbanding 206 kes pada 2023.
"Untuk suku pertama 2025, peningkatan dicatat sebanyak 17.1 peratus. Ada juga pelajar menghasilkan kandungan lucah rakan sekelas menggunakan AI," ujarnya.
Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap trend ini kerana sepatutnya kemudahan internet dimanfaatkan untuk pendidikan dan pembangunan diri telah disalahgunakan untuk jenayah dan penyebaran fitnah.
Sehubungan itu, Fahmi menggesa kerjasama semua pihak termasuk Mara untuk memperluaskan Kempen Internet Selamat ke semua institusi pendidikan di bawah seliaan agensi itu.
"Kita bersungguh-sungguh menyelesaikan masalah capaian internet, tapi jangan sampai ia disalahgunakan.
"Saya harap Mara, UPTM dan semua rakan institusi boleh bersama menjayakan Kempen Internet Selamat ini,” tambah beliau.