Hanya kerana pensel, seorang pelajar berusia 14 tahun cedera selepas diserang rakan sekelasnya menggunakan sabit dalam kejadian di Palayamkottai, Tirunelveli di Tamil Nadu pada Isnin.
Kejadian dipercayai berpunca daripada pertengkaran kecil antara dua pelajar berkenaan menyebabkan mereka tidak bertegur sapa sejak bergaduh mengenai pensel dipinjam mangsa kira-kira dua bulan lalu.
Penolong Pesuruhjaya Polis Palayamkottai, N Suresh mengesahkan bahawa serangan tersebut berpunca daripada konflik antara mereka.
"Akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan tangan manakala guru yang cuba membantu turut cedera ringan.
"Kedua-dua mereka kini menerima rawatan di sebuah hospital swasta," katanya.
Suresh memberitahu, mangsa dikatakan telah meminjam pensel tetapi gagal memulangkan kepada rakannya, menyebabkan wujud rasa tidak puas hati yang berpanjangan.
"Suspek dipercayai membawa sabit dari rumah dan menyembunyikannya dalam beg sekolah sebelum bertindak menyerang mangsa," ujarnya lagi.
Selepas itu, penyerang pergi ke balai polis Palayamkottai yang terletak hanya 200 meter (m) dari sekolah dengan membawa sabit dan menyerah diri kepada pihak polis.
Pelajar terbabit akan diserahkan kepada Jawatankuasa Kebajikan Kanak-Kanak mengikut prosedur perundangan.