Seramai 402,956 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 bakal mengetahui keputusan mereka yang akan diumumkan pada Khamis ini.
Peperiksaan SPM merupakan titik penting dalam laluan akademik setiap pelajar bukan sekadar sebagai penanda aras pencapaian di penghujung pendidikan menengah, malah penentu arah masa depan sama ada dalam bidang akademik, latihan kemahiran mahupun kerjaya.
Tambahan pula, standard dan kredibilitinya diperakui di peringkat antarabangsa melalui kerjasama dengan badan pentaksir global.
Jom ketahui latar belakang dan maklumat penting berkaitan SPM sebagai asas kepada pemahaman lebih menyeluruh mengenai peranan serta pelaksanaannya.
Bagi pelajar yang ingin menduduki SPM, mereka perlu memenuhi beberapa syarat pendaftaran iaitu;
1) Pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kerajaan/Sekolah Menengah Bantuan Kerajaan/ Sekolah Swasta yang diiktiraf oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) atau;
2) Mereka yang pernah menduduki peperiksaan SPM/ SPM Vokasional/Malaysia Certificate of Education (MCE)/ School Certificate (SC)/ Federation of Malaya Certificate (FMC) atau;
3) Mereka yang telah mencapai umur 17 tahun bermula 1 Januari dalam tahun peperiksaan semasa.
SPM merekodkan pencapaian pelajar untuk digunakan bagi tujuan berikut:
1) Kelayakan asas memasuki program pada peringkat lebih tinggi.
2) Kriteria asas dalam mendapatkan biasiswa.
3) Memohon pekerjaan.
4) Pencapaian bagi pentaksiran pendidikan pelajar sepanjang tempoh pendidikan menengah tingkatan lima.