Pelajar memakai lencana Jalur Gemilang bermula hari ini!

Iklan
Empat pelajar SMK Karak tampil penuh semangat patriotik apabila mengenakan lencana Jalur Gemilang sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif KPM dalam memupuk kecintaan terhadap negara. Foto: Facebook Young Syefura Othman

Hari ini merupakan tarikh yang penuh bermakna bagi seluruh warga sekolah apabila satu simbol kebanggaan negara, lencana Jalur Gemilang, dipakai seragam oleh pelajar di seluruh Malaysia.

Pemakaian lencana itu bukan sahaja menghiasi pakaian seragam malah menjadi lambang semangat patriotik yang dipupuk sejak kecil.

Iklan
Iklan

Sinar Bestari mendapati laman sosial seperti Facebook pada Isnin, dibanjiri dengan hantaran dan koleksi gambar pelajar mengenakan lencana Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga.

Wajah masing-masing jelas terpancar kegembiraan dan rasa bangga menjadi rakyat Malaysia apabila menggayakan lencana dengan penuh gaya di dada dan di tudung.

Iklan

Sebagai contoh, Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Indah, Pelabuhan Klang, Selangor melancarkan pemakaian lencana Jalur Gemilang dan kutipan kilat prihatin pada Isnin.

Majlis itu bertujuan menyemai nilai kecintaan terhadap negara dalam kalangan murid-murid melalui simbolik pemakaian lencana tersebut.

Foto: Facebook SK Pulau Indah

Iklan

Kongsi hantaran Facebook itu, program tersebut berjaya menerapkan nilai murni seperti cinta akan negara, disiplin, tanggungjawab, jati diri dan penghargaan terhadap simbol negara.

Tulis mereka, pemakaian lencana berkenaan menjadi lambang kesetiaan dan semangat warganegara yang cintakan keamanan serta keharmonian tanah air.

"Anak yang mencintai negaranya adalah anak yang bersedia membina masa depan yang gemilang," catat media sosial tersebut.

Facebook Ahli Parlimen Bentong, Pahang, Young Syefura Othman pula berkongsi hantaran mengenai pemakaian Jalur Gemilang kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Karak, Pahang.

"Alhamdulillah pada pagi yang penuh dengan keberkatan ini, saya bersama pelajar-pelajar dan barisan guru serta dif jemputan di majlis yang penuh dengan semangat cintakan negara.

"Pemakaian lencana Jalur Gemilang ini adalah inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia di bawah kepimpinan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Foto: Facebook Young Syefura Othman

"Inisiatif berkenaan adalah bagi memupuk semangat patriotisma dan cinta akan negara dan besar harapan ia menjadi titik tolak bagi menerap semangat perpaduan yang besar kepada anak-anak kita,” tulisnya.

Di SMK King George V, Seremban, Negeri Sembilan pula, pemakaian lencana Jalur Gemilang kepada para pelajar telah disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bersama-sama Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Khalidah Omar.

"Hari ini, kita memperkenalkan pemakaian lencana Jalur Gemilang sebagai satu lambang kebanggaan, kesatuan dan semangat patriotisme.

"Lencana kecil ini bukan sekadar hiasan di dada, tetapi lambang besar sebuah jati diri kebangsaan," menurut Facebook sekolah berkenaan.

Foto: Facebook Sekolah Menengah Imtiyaz Yayasan Terengganu, Kuala Berang

Kesimpulannya, pemakaian lencana Jalur Gemilang oleh para pelajar di seluruh negara bukan sahaja menyemarakkan semangat patriotik, malah menjadi simbol penyatuan dan kecintaan terhadap tanah air.

Usaha ini berjaya memupuk nilai murni seperti jati diri, tanggungjawab dan penghargaan terhadap negara dalam kalangan generasi muda.

Ia juga membuktikan bahawa usaha membina semangat kebangsaan harus dimulakan sejak di bangku sekolah, agar semangat cintakan Malaysia terus mekar dan diwarisi oleh anak-anak bangsa.

Foto: Facebook SK Lembah Subang