Universiti Utara Malaysia (UUM) menubuhkan satu jawatankuasa dalaman bagi menyiasat punca kemalangan membabitkan bas dalam kampus induk Sintok, Kedah sehingga meragut nyawa pelajar, Manarina Hasya Mohamad Karim, 22, pada Sabtu.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, pihak universiti turut memberi kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan menyeluruh berhubung kejadian menyayat hati itu.
"Apa yang berlaku masih lagi dalam siasatan dan pihak kami telah menubuhkan jawatankuasa dalaman bagi menjalankan siasatan terperinci.
"Kita juga serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat punca sebenar kemalangan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pengebumian Allahyarham Manarina Hasya Mohamad Karim, 22, di Tanah Perkuburan Islam Felda Chempelak, Labis, malam tadi.
Jenazah pelajar semester keempat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan itu selamat dikebumikan kira-kira jam 11.45 malam dengan dihadiri ahli keluarga, pihak pengurusan universiti, kenalan dan penduduk setempat.
Pada masa sama, Ahmad Martadha berkata, pihak universiti akan menyalurkan segala bentuk bantuan sewajarnya kepada keluarga arwah bagi meringankan beban mereka.
Sebelum ini media melaporkan, kejadian berlaku sekitar jam 8.45 pagi apabila mangsa sedang beratur di sebuah perhentian bas di Jalan Persiaran Perdana, Kampus UUM Sintok, dirempuh bas sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.
Bagaimanapun, anak sulung daripada empat beradik itu disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6.30 petang ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim mengesahkan punca kematian adalah disebabkan kecederaan lebam pada jantung akibat hentakan kenderaan.
Katanya, punca kematian itu diperoleh hasil bedah siasat selama dua jam ke atas mangsa di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), pada pagi Ahad.