Detik bersejarah tercipta apabila sekolah harian di seluruh negara berjaya membuktikan keunggulan dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di mana telah mencatat pencapaian setanding Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan menyifatkan kejayaan itu sebagai manifestasi keberkesanan langkah pemerkasaan guru berimpak tinggi yang digerakkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
"Kita melaksanakan pelbagai intervensi termasuk Program Transformasi Sekolah 2025, latihan dalam komuniti, pembelajaran profesional serta bimbingan intensif daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
"Semua ini bertujuan meningkatkan kompetensi guru sekali gus melonjakkan kualiti pembelajaran murid di sekolah harian," katanya menerusi sidang akhbar Majlis Pengumuman Analisis Keputusan Peperiksaan SPM Tahun 2024 di Putrajaya pada Khamis.
Beliau turut menekankan, kejayaan berkenaan membuktikan bahawa pelajar daripada mana-mana latar belakang sekolah berpotensi untuk cemerlang apabila diberikan sokongan, bimbingan dan persekitaran pembelajaran yang kondusif.