Seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut akibat kecederaan parah selepas motosikal yang dinaikinya merempuh sebuah lori di persimpangan lampu isyarat Jalan Pantai Belimbing, di Krubong, Melaka petang Selasa.
Mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11 malam ketika menerima rawatan di Hospital Melaka, selepas lebih lima jam bertarung nyawa.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 3 petang ketika mangsa membonceng motosikal jenis Yamaha Nouvo S yang ditunggangi rakan sebayanya, juga seorang pelajar perempuan.
"Siasatan awal mendapati motosikal tersebut dipercayai melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh bahagian hadapan kanan sebuah lori yang sedang bergerak di persimpangan selepas lampu bertukar hijau,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, lori yang dipandu lelaki berusia 46 tahun itu sedang dalam perjalanan dari Krubong Perdana ke Krubong ketika dirempuh motosikal yang datang dari arah SMK Krubong menuju ke Taman Krubong Permai.
"Akibat rempuhan, pembonceng mengalami patah tangan kiri, patah kaki kanan dan kecederaan dalaman serta disahkan meninggal dunia di hospital.
"Penunggang motosikal pula cedera di kepala dan mengalami luka di tangan serta kaki manakala pemandu lori tidak cedera," jelasnya.
Christopher berkata, semua kenderaan terlibat telah dibawa ke Puspakom untuk pemeriksaan teknikal, manakala lori turut ditimbang di JPJ Bukit Katil sebagai sebahagian daripada siasatan.