Selama bertahun-tahun, bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sering dilabel sebagai laluan untuk pelajar yang kurang cemerlang dalam akademik. Namun, realitinya kini jauh berbeza.
Menurut Nor Shazwani Shamshudin dari Institut Kemahiran Mara Johor Bahru (IKMJB), persepsi lapuk itu perlu dibuang jauh kerana bidang TVET telah berkembang pesat dan menjadi pilihan utama bukan sahaja untuk pelajar sederhana, bahkan menarik minat pelajar cemerlang termasuk lepasan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP).
"Kalau 20, 30 tahun dulu mungkin ya tetapi sekarang bidang kemahiran bukan macam zaman 1980-an. Dulu pelatih hanya fokus hands-on. Sekarang, ada hari pelajar di bengkel, ada hari mereka berkemeja dan bertali leher,” katanya dalam satu perkongsian di laman sosial Facebooknya.
Nor Shazwani berkata, pelajar kemahiran kini tidak hanya memperoleh sijil asas semata-mata, mereka sebaliknya berpeluang memperoleh Sijil Teknologi, Diploma Kompetensi bahkan boleh menyambung pengajian hingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) yang mana ia sesuatu yang dahulu tidak terbayang dalam dunia TVET.
Bukan sekadar automotif dan kimpalan
Sebut sahaja TVET, ramai terbayang bidang seperti automotif, kimpalan atau elektrik. Namun realitinya, TVET merangkumi ratusan bidang kemahiran termasuk Fesyen, Kulinari, Spa, Teknologi Maklumat (IT), Penggayaan Rambut dan banyak lagi.
"Jika seseorang itu cenderung kepada kerja praktikal, ‘otak di tangan’ dan kurang minat dengan pembelajaran teori, bidang TVET memang sangat sesuai. Di IKMJB contohnya, pelajar boleh memilih program Diploma Kompetensi (80 peratus amali) atau Diploma Industri (90 peratus amali),” jelas Nor Shazwani.
TVET juga kata Nor Shazwani, menawarkan laluan pantas ke pasaran kerja.
"Lepasan SPM boleh terus menyambung pengajian di pusat TVET seperti IKM, KKTM atau GiatMara dan tamat pengajian dalam tempoh dua tahun. Contohnya, pelajar Sijil Teknologi Kejuruteraan Marin tamat pengajian pada usia 20 tahun dan terus bersedia untuk bekerja. Gaji permulaan pula antara RM2,500 hingga RM6,000 bergantung kepada bidang dan elaun yang diterima,” katanya.
Bukan itu sahaja, ramai graduan TVET memilih untuk menjadi usahawan dengan membuka bengkel, perniagaan makanan, spa dan lain-lain. Di kampus, pelajar turut didedahkan dengan teori dan amali keusahawanan agar mampu berdikari selepas tamat belajar.
Ibu bapa perlu buka mata dan minda
Nor Shazwani turut mengingatkan ibu bapa agar lebih terbuka dan memahami laluan pendidikan semasa. Katanya, ramai lepasan SPM hari ini lebih arif tentang laluan kerjaya yang ingin diceburi berbanding ibu bapa mereka.
"Ramai yang hubungi saya, mereka sudah tahu program yang hendak dipohon. Kebanyakannya hasil daripada maklumat yang mereka peroleh di TikTok,” kongsinya.
Katanya lagi, ibu bapa perlu melengkapkan diri dengan maklumat terkini supaya mampu memberi nasihat dan panduan terbaik kepada anak-anak berdasarkan minat dan kecenderungan masing-masing.
Jelaslah TVET bukan lagi laluan kedua, ia adalah pilihan utama bagi mereka yang mahu cepat berjaya, bekerja dalam bidang diminati dan mempunyai kemahiran yang sentiasa diperlukan industri.
Buat para pelajar sekalian, coraklah masa depan masing-masing di laluan yang benar!