Kerajaan Kelantan bersetuju memberikan insentif khas sebanyak RM500 kepada anak jati negeri yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam tiga peperiksaan utama sebagai penghargaan kepada pelajar.
Tiga peperiksaan utama yang layak untuk insentif ini termasuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan sekurang-kurangnya 9A, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan 4 prinsipal A, dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dengan mumtaz.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, pemberian insentif ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan menggalakkan kecemerlangan akademik serta melahirkan generasi berilmu yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri.
"Setakat ini, peruntukan yang diluluskan adalah sebanyak RM700,000 dan jumlah ini akan ditambah mengikut jumlah permohonan yang diterima," katanya.
Wan Roslan berkata, permohonan terbuka kepada semua pelajar di Kelantan, tanpa mengira latar belakang sekolah termasuk pelajar Yayasan Islam Kelantan (YIK). Maklumat lanjut mengenai permohonan boleh didapati mulai 13 Mei ini melalui laman Facebook YIK atau laman sesawang rasmi www.yik.edu.my.
Menurut beliau pemberian ini juga mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menjayakan agenda pembangunan modal insan berkualiti tinggi, sejajar dengan dasar penghayatan membangun bersama Islam.
Pada tahun lepas, seramai 1,200 pelajar cemerlang direkodkan di Kelantan, melibatkan pelajar dari sekolah YIK dan sekolah kerajaan. Untuk tahun ini, seramai 129 pelajar YIK memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM. Beliau menggesa semua pelajar, termasuk yang dari sekolah kerajaan, untuk memohon jika memenuhi syarat yang ditetapkan.
Mengenai isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar YIK, Wan Roslan berkata hanya sebilangan kecil (kurang dari lima peratus) yang terlibat dalam masalah sosial tersebut.
"Pihak kami telah mengambil pendekatan dengan mengadakan perbincangan bersama ibu bapa dan pelajar bagi menangani masalah ini, dan setakat ini tiada pelajar yang diberhentikan sekolah," tambahnya. - Bernama