Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dijangka mengumumkan dalam masa terdekat senarai sekolah yang terlibat dengan pengajaran serta pembelajaran di rumah (PdPR) ketika berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN pada 26 hingga 27 Mei ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sekolah yang dijangka terlibat berada di sekitar lokasi berlangsungnya Sidang Kemuncak itu atau di lokasi laluan utama ke persidangan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
"KPM akan mengenal pasti sejumlah sekolah yang berada dalam kawasan laluan-laluan utama bagi sidang kemuncak dan senarai sekolah ini akan diumumkan.
"Para pelajar akan dibenarkan untuk melakukan pembelajaran dari rumah atau PdPR. Jadi senarai penuh akan diterbitkan oleh pihak KPM nanti," katanya pada sidang media mingguan di sini.
Fahmi yang Jurucakap Kerajaan Madani berkata, kerajaan juga amat menggalakkan majikan syarikat swasta yang pejabat mereka berada di kawasan sekitar lokasi Sidang Kemuncak ASEAN 2025, untuk memberi kebenaran Bekerja Dari Rumah (BDR) kepada pekerja sepanjang berlangsung persidangan itu.
Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam telah mengeluarkan kenyataan mengenai kebenaran kepada penjawat awam yang dijangka terkesan akibat kesesakan trafik sempena Sidang Kemuncak ASEAN, untuk memohon pelaksanaan BDR.
Selain itu, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengumumkan pengurusan trafik dan laluan utama sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN 2025, antaranya melibatkan kawasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.
Turut terlibat Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, Pangkalan Tentera Udara Subang KLCC dan hotel penginapan anggota delegasi.
"Senarai ini akan diterbitkan pihak PDRM dalam masa terdekat dan saya minta rakan-rakan media dan orang awam untuk rujuk bagi membuat perancangan pergerakan pada hari-hari sidang berlangsung,” katanya.
Fahmi berkata Sidang Kemuncak ASEAN 2025 merupakan peluang baik untuk Malaysia dan ASEAN membincangkan pelbagai perkara, termasuk ekonomi di rantau ini serta kerjasama bersama Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China.
Beliau berkata, selain Sidang Kemuncak ASEAN, Malaysia turut menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC dan Sidang Kemuncak Ekonomi ASEAN-GCC-China.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 menghimpunkan 10 pemimpin negara anggota blok itu, bagi membincangkan isu serantau serta memupuk kerjasama ekonomi, selain memperjuangkan prinsip keterangkuman dan kemampanan.
Malaysia mengambil alih kepengerusian ASEAN pada 1 Jan 2025 daripada Laos dengan tema Keterangkuman dan Kemampanan, mencerminkan aspirasi negara untuk membina ASEAN yang bersatu serta makmur.
Ini kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas memegang jawatan itu pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, Jemaah Menteri hari ini dimaklumkan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bahawa, Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA'25) yang berlangsung pada 20 hingga 24 Mei ini, dijangka menerima kehadiran pengunjung yang lebih besar berbanding tahun sebelumnya.
Bertemakan Kemajuan Hari Ini, Pencapaian Masa Hadapan, LIMA'25 yang akan berlangsung di Langkawi itu antara pameran terbesar dalam industri maritim dan aeroangkasa di Asia Tenggara, sejak dianjurkan kali pertama pada 1991. - Bernama