Universiti Teknologi MARA (UiTM) sekali lagi mencatat sejarah apabila mengiktiraf jasa dan sumbangan tokoh tersohor iaitu arkitek negara, Hijjas Kasturi dengan penganugerahan Profesor Emeritus.
Gelaran penuh prestij itu diberikan kepada individu yang tidak asing lagi dalam dunia seni bina tanah air yang selama ini menjadi pencetus ilham dan pelopor dalam mencorak landskap arkitektur Malaysia.
Penganugerahan kepada bapa seni bina negara itu disampaikan oleh Pro Canselor UiTM Tan Sri Zarinah Anwar semasa Istiadat Konvokesyen UiTM ke-101.
Kongsi Hijjas kepada Sinar Bestari, kemiskinan yang dihadapi keluarganya sejak kecil menyebabkan beliau menyambung pelajaran sehingga mendapat pendidikan di University of Melbourne, Australia.
Seterusnya, bapa seni bina negara ini memperoleh diploma dalam perancangan bandar dan wilayah serta menerima pelbagai ijazah kehormat doktor falsafah dari institusi ternama termasuk University of Adelaide, University of Melbourne dan Universiti Malaya.
"Disebabkan kemiskinan itulah menjadi motivasi kita untuk menjayakan taraf kita sendiri iaitu dengan pembelajaran yang tinggi.
"Saya juga sentiasa minat dalam bidang seni sejak daripada kecil. Sehingga kini pun saya ada membuat lukisan dan menjualnya,” katanya secara eksklusif kepada Sinar Bestari.
Tidak hanya itu, Hijjas merupakan pengasas dan ketua pengajian pertama Fakulti Seni Bina Perancangan dan Ukur (FSPU) yang dahulunya dikenali sebagai ‘School of Art and Architecture’ pada tahun 1967.
Sepanjang kerjayanya, beliau turut memenangi pelbagai anugerah peringkat antarabangsa dan kebangsaan, termasuk 'Gold Medal Award' daripada Pertubuhan Akitek Malaysia dan Pingat Presiden oleh Lembaga Arkitek Malaysia (2023).
Antara karya-karya ikoniknya ialah Menara Maybank, Menara Telekom dan Kompleks Haji Sepang, malah peranannya yang besar dalam pembangunan pendidikan tinggi Bumiputera.