Seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat berada di sebuah kawasan projek tapak perkhemahan di Janda Baik, Bentong pada Jumaat lalu.
Kehilangan mangsa, Nordina Jeka, dilaporkan oleh neneknya pada jam 3 petang Ahad.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, alamat terakhir mangsa adalah di Kampung Sungai Gabong di sini.
Menurutnya, ciri-ciri fizikal mangsa ialah berkulit hitam manis, berketinggian kira-kira 1.5 meter dan berbadan sederhana.
"Kali terakhir mangsa dilihat memakai baju-T lengan pendek berwarna merah dan berseluar jean hitam,” katanya.
Zaiham berkata, pihak polis memohon kerjasama orang ramai untuk membantu mengesan remaja terbabit.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan remaja itu diminta tampil ke mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di talian 09-2231999,” katanya.