Pagi ini, negara dikejutkan dengan berita tragis yang menyentap hati rakyat Malaysia.
Seramai 10 anggota Pasukan Simpanan Polis Persekutuan (PSP) atau lebih dikenali sebagai Federal Reserve Unit (FRU) dilaporkan terkorban dalam satu kemalangan ngeri melibatkan sebuah trak pasukan dengan lori muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampan, Teluk Intan, Perak, sekitar jam 8.30 pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, trak FRU dari Unit 5 yang membawa 18 anggota itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai penugasan perayaan Chitrapournami di Hilir Perak.
"Ketika tiba di tempat kejadian, trak FRU Unit 5 dirempuh dari hadapan oleh lori membawa muatan batu yang dipercayai mengalami kegagalan fungsi stereng," katanya dalam satu kenyataan.
Hari ini, Sinar Bestari ingin berkongsi beberapa fakta penting mengenai FRU yang mungkin belum diketahui oleh ramai.
Menurut perkongsian Facebook PSP Unit 4 Kuala Lumpur pada tahun 2020, FRU merupakan salah satu cawangan yang terdapat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diletakkan di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) PDRM bersama-sama Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Udara (PGU), Pasukan Gerakan Marin (PGM), Unit Tindak Khas (UTK) dan 69 Komando.
Pasukan FRU ini dianggotai anggota tetap PDRM terdiri daripada Pegawai Kanan Polis (PKP) dan Pegawai Rendah Polis (PRP).
Sinonim dengan ungkapan #beretmerah, FRU merupakan pasukan khas simpanan Ketua Polis Negara yang boleh dikerah tanpa mengira waktu untuk bertindak secara tegas dan sistematik terhadap sebarang rusuhan atau perhimpunan haram yang berlaku di Malaysia.
Peranan FRU ini khusus untuk menyuraikan perhimpunan haram, penumpasan rusuhan dan menjalankan tugas-tugas lain berkaitan dengan keadaan Ketenteraman Awam.
Pasukan ini adalah serba lengkap dan berkemampuan, bermobiliti tinggi dan menjadi Unit Simpanan Ketenteraman Awam.
Apabila pasukan ini tidak terlibat dalam tugas-tugas Ketenteraman Awam, pasukan berkenaan boleh digunakan oleh Pegawai Memerintah dalam tugas membantu Ketua Polis Daerah, Jabatan Siasatan Jenayah dan Cawangan Khas. Contohnya seperti bantuan OP COVID19.
Pasukan FRU ini mempunyai pecahan unit-unit di seluruh Malaysia iaitu Ibu Pejabat Pasukan Simpanan Persekutuan (Bukit Aman); Unit 1 (Kuala Lumpur); Unit 2 (Johor); Unit 3 (Pulau Pinang) dan Unit 4 (Kuala Lumpur).
Seterusnya Unit 5 (Ipoh, Perak); Unit 6 (Terengganu); Unit 7 (Seremban, Negeri Sembilan); Terup Wanita (Kuala Lumpur); Unit Berkuda dan Pusat Latihan Pasukan Simpanan Persekutuan (PLPSP).
Semua Pegawai Kanan Polis (PKP) dan Pegawai Rendah Polis (PRP) yang bertugas di dalam FRU ini adalah anggota tetap PDRM.
Tiada istilah 'FRU bantu polis', yang membezakan pasukan ini adalah kemahiran dan skop penugasan sahaja.