Reformasi sebenar dalam sistem pendidikan negara harus bermula dari unit paling asas dan penting dalam sesebuah sekolah iaitu bilik darjah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, perkembangan positif yang berlaku dalam bilik darjah membuktikan reformasi pendidikan tidak semestinya hanya tertumpu pada perubahan dasar yang besar.
"Sebaliknya ia harus bermula dengan pendekatan yang memberi kesan langsung kepada proses pengajaran dan pembelajaran harian.
"Saya melihat bahawa perkembangan-perkembangan yang sangat baik berlaku di dalam kelas masing-masing.
"Apabila kita membicarakan soal reformasi sekolah, tidak ada tempat lain yang lebih bermakna, sesuai dan unik selain daripada kelas itu sendiri,” ujarnya pada Majlis Anugerah Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2025 di Sarawak.
Fadhlina berkata, kelas merupakan unit paling fundamental dalam sesebuah sekolah dan sebarang perubahan yang berlaku di peringkat ini akan memberi impak langsung kepada pengalaman pembelajaran murid.
"Reformasi pendidikan bukan hanya mengenai dasar besar, tetapi juga tentang bagaimana guru berinteraksi dan menyampaikan ilmu secara berkesan di dalam kelas,” ujar beliau lagi.
Sementara itu, mengenai anugerah yang disampaikan, Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus mengiktiraf sumbangan besar para pendidik melalui penganugerahan khas kepada guru-guru yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang masing-masing.
Malah majlis yang diadakan katanya, menyaksikan penyampaian anugerah kepada barisan guru yang telah memberi impak besar dalam pendidikan negara, sekali gus menjadi sumber inspirasi kepada rakan-rakan pendidik lain.
"Saya ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua penerima anugerah. Semoga penganugerahan ini menjadi dorongan dan inspirasi kepada guru-guru lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.
"Saya sendiri tekuni setiap satu pencalonan. Ada anugerah yang saya minta untuk ditambah kerana saya tidak sampai hati melihat usaha luar biasa guru-guru ini tidak dihargai. Insya-ALLAH, akan ada lagi penambahan yang akan diumumkan," katanya.
Fadhlina turut memaklumkan terdapat penambahan kategori anugerah pada tahun ini atas inisiatif peribadi beliau, selepas meneliti pencapaian luar biasa beberapa guru yang dirasakan wajar diberikan penghargaan sewajarnya.
Beliau dalam pada itu mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik yang telah bersama-sama menaja hadiah-hadiah kecemerlangan sempena majlis itu.
"Sesungguhnya hadiah-hadiah ini dan penganugerahan ini, akan membantu kita untuk terus memartabatkan mutu pendidikan negara ke tahap yang lebih tinggi," tambah beliau.
Katanya, langkah berterusan itu sejajar dengan komitmen kementerian dalam menjadikan keguruan sebagai profesion dihormati dan dipandang tinggi, selaras dengan peranan guru sebagai tunjang utama dalam membentuk generasi masa depan negara.
Lebih 100 guru dari seluruh negara menerima anugerah masing-masing pada majlis tersebut, antaranya Anugerah Pendidikan Khas, Anugerah Guru Inovatif, Anugerah Guru Ikon, Anugerah Guru Berwibawa, Anugerah Khas Bitara Bahasa dan Anugerah Khas Menteri Pendidikan. - Utusan Borneo Online