Hari Guru merupakan hari yang sangat istimewa bukan sahaja bagi para pendidik, malah seluruh warga masyarakat.
Ia adalah hari untuk mengenang dan menghargai jasa serta pengorbanan insan bergelar guru yang saban hari mencurahkan ilmu, mendidik dengan penuh kesabaran dan membentuk peribadi generasi masa depan.
Bersempena sambutan Hari Guru hari ini, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah turut menzahirkan penghargaan kepada para guru di seluruh negara.
Menerusi kenyataan dalam Facebook rasmi, Seri Paduka Baginda bertitah bahawa guru adalah insan hebat yang mencurahkan ilmu mereka tanpa mengharapkan balasan demi membentuk masyarakat cemerlang.
"Tanpa guru tiadalah ilmu, tanpa ilmu gelaplah arah itu. Guru adalah cahaya menerangi jalan kita ke arah masa depan yang lebih cemerlang.
"Terima kasih kepada semua guru di atas jasa dan pengorbanan anda, sama ada di bandar mahu pun pedalaman, bakti kalian tetap dikenang," titah Sultan Ibrahim.