Sebagai usaha menarik minat murid bermula dari sekolah rendah terhadap pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Persatuan Pembangunan Masyarakat Negeri Pulau Pinang menganjurkan Kem Kesedaran STEM 2025 selama dua hari di Kompleks Rakan Muda Jawi, Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Program anjuran bersama Yayasan Bank Rakyat dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang melibatkan seramai 150 murid Tahun Enam daripada 52 buah sekolah rendah sekitar Pulau Pinang dan Perak.
Menurut Naib Presiden Persatuan Pembangunan Masyarakat Negeri Pulau Pinang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Kem Kesedaran STEM Tahun 2025, Kamarul Ariffin Abd Rashid, kem bertujuan menanam minat dan kesedaran awal dalam kalangan murid sekolah rendah terhadap kepentingan STEM dalam kehidupan dan kerjaya masa depan, sejajar dengan keperluan Revolusi Industri 4.0.
"Membawa tema 'STEM untuk Masa Depan', kem ini memberi pendedahan awal melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman seperti bengkel robotik, asas pengaturcaraan, eksplorasi STEM dan kendalian dron.
"Antara pengisian menarik sepanjang kem termasuk sesi latihan dalam kumpulan yang bertajuk 'STEM untuk Masa Depan', pertandingan Explorace STEM, bengkel kendalian robotik dan dron serta aktiviti berpasukan yang merangsang pemikiran kritis dan kreativiti," katanya.
Dalam pada itu, majlis penutupan rasmi telah disempurnakan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Bank Rakyat, Syamsul Firdaus Mohamed Supri yang turut dihadiri wakil Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, JPN Pulau Pinang, Chen Thean Hock.
Terdahulu, Kem Kesedaran STEM 2025 menyediakan platform yang menggabungkan aktiviti pembelajaran berasaskan pengalaman (experiental learning) supaya membantu murid melihat kaitan antara pelajaran yang pelajari di bilik darjah dengan aplikasi sebenar.
Perkara ini turut menjadikan pembelajaran lebih bermakna, menyeronokkan dan mampu memberikan inspirasi terhadap masa depan mereka.