Pemergian Mana Sikana: Jasa Sasterawan Perak ini akan terus dikenang & dihargai

Iklan
Allahyarham Mana Sikana telah meninggal dunia pada jam 10.30 pagi tadi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM.

Sebut sahaja nama Mana Sikana, pasti terbayang sosok ilmuwan sastera yang disegani dan dihormati dalam kalangan pencinta kesusasteraan Melayu.

Dengan sumbangan yang melangkaui dekad, Mana Sikana atau nama sebenarnya, Dr Abd Rahman Napiah, 80, telah mencorakkan pemikiran sastera Melayu moden melalui penulisan kreatif dan ilmiah yang mendalam, progresif serta sarat dengan nilai falsafah.

Iklan
Iklan

Antara karya yang paling meninggalkan kesan mendalam ialah drama Pasir-Pasir di Pasir Salak, yang bukan sekadar mengangkat semula detik bersejarah pembunuhan JWW Birch pada 2 November 1875, tetapi turut mengajak khalayak merenung erti perjuangan, maruah dan identiti bangsa melalui pendekatan dramatik dan falsafah yang halus serta penuh makna.

Terbaharu, Sasterawan Perak kedua itu telah meninggal dunia pada jam 10.30 pagi tadi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM.

Iklan

Pemergian Allahyarham telah disahkan oleh anaknya yang juga penulis buku, Ismi Azhan.

Beliau berkata, arwah bapanya itu meninggal dunia akibat komplikasi jantung dan pernah dirawat di hospital sebelum ini.

Iklan

"Arwah bapa meninggalkan kami kira-kira jam 10.30 pagi tadi dan jenazah akan dibawa ke Surau Jubli Perak, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi," katanya.

Kami di Sinar Bestari merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga dan sahabat Allahyarham Mana Sikana.

Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin.

PROFIL

- Dilahirkan pada 9 Oktober 1945.

- Berasal dari Bagan Serai, Perak.

- Pendidikan awal:

  • Sekolah Rendah Kebangsaan, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak pada tahun 1954-1959.
  • Sekolah Izzudin Shah, Ipoh, Perak (1959-1966) dan mendapat pangkat dua dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
  • Syahadah Agama Tinggi Perak pada 1966
  • Maktab Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur (1967-1968) dan memperoleh Diploma Pendidikan Bahasa Melayu dan Geografi.
  • Pada 1973, Mana Sikana lulus penuh Sijil Tinggi Persekolahan (STP) yang melayakkan beliau menyambung pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1974-1978 atas pembiayaan biasiswa UKM sekali gus meraih Sarjana Muda Persuratan Kelas Pertama.
  • Meneruskan pendidikan sarjana (1980-1981) dan menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada 1991.

- Selaku pengarang dan pengkaji, Mana Sikana seorang pengkarya yang prolifik, tepu dengan falsafah dan pemikiran kontemporari dalam karya-karya kreatif yang dihasilkan.

- Antara karya beliau ialah empat kumpulan cerpen berjudul Santau (1982), Jejak Yang Hilang (1984), Abzyx (1986) dan Nusia (2002).

- Bagi kumpulan drama, telah terhasil karya berjudul Apa-Apa (1982), Tok Awang (1984) dan Hikmah (1998).

- Novel yang dibangunkan pula terdiri daripada ialah Ronjang (1984), Kesesatan (1987), Klimak (1989) dan Syajar (1996).

- Seterusnya, buku kajian sastera yang ditulis adalah Teras Sastera Melayu Moden (1982), Esei-esei Kesusasteraan (1983), Kritikan Sastera: Kaedah dan Aplikasi (1986), Di Sekitar Pemikiran Drama Moden (1989), Teori Sastera Moden (1990), Drama Melayu Moden (1996), Teori dan Kritikan Sastera Pascamodenisme (1998), Sastera Pascamodenisme Melayu (2002) serta Teori dan Kritikan Sastera (2002).

- Jumlah keseluruhan buku yang telah dihasilkan Allahyarham melebihi 100 buah.

- Anugerah dan pencapaian

  • Anugerah Seri Angkasa bagi Skrip Drama Radio dan TV Terbaik (1973)
  • Penulis Terbaik Dewan Sastera (1978)
  • Hadiah Sastera UKM (1978)
  • Hadiah Sastera Nasional untuk cerpen dan kritikan sastera (1978 dan 1982)