Respons Fadhlina tentang guru wanita yang viral...'Dia direhatkan daripada mengajar'

Iklan
Fadhlina

Seorang guru wanita sebuah sekolah menengah di selatan tanah air telah direhatkan daripada tugas pengajaran susulan kontroversi yang tercetus berhubung dakwaan menjalin hubungan sulit dengan suami orang.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, tindakan itu diambil sementara siasatan dalaman dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memandangkan ia melibatkan isu integriti, kelakuan dan akhlak guru berkenaan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, menurut beliau, guru tersebut masih menjalankan tugasan tertentu sebagai kakitangan awam sepanjang tempoh siasatan.

"Tidak, tidak (mengajar). Dia direhatkan daripada mengajar. Kita telah mengambil pendekatan untuk memastikan siasatan dapat dijalankan dengan lancar. Oleh itu, guru terbabit perlu berada dalam proses siasatan tersebut dan tidak mengganggu perjalanan siasatan.

Iklan

"Maknanya, kita telah mengeluarkan beliau daripada sekolah supaya siasatan boleh berlangsung dengan lebih mudah dan bebas daripada sebarang gangguan.

"Namun begitu, beliau masih menjalankan tugas-tugas sebagai seorang kakitangan awam sementara siasatan diteruskan," katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Dermasiswa Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) anjuran Farm Fresh Berhad di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Sheh Barakbah, Pulau Pinang pada Selasa.

Iklan

Fadhlina menegaskan bahawa KPM mengambil serius sebarang isu yang melibatkan integriti, akhlak dan kelakuan guru di negara ini.

"KPM mengambil isu ini secara serius, sama ada yang berlaku secara rasmi mahupun yang tular di media sosial. Kita bertanggungjawab memastikan semua guru mematuhi standard integriti dan etika keguruan yang ditetapkan oleh kementerian.

"Jaminan kami adalah untuk mempertahankan nilai etika dan integriti dalam profesion keguruan. Mudah-mudahan guru-guru kita sentiasa diingatkan dari semasa ke semasa," ujarnya.

Beliau turut mengingatkan semua guru supaya menjaga tingkah laku, sama ada ketika berada di dalam sekolah mahupun di luar waktu persekolahan.

"Ini adalah tanggungjawab KPM terhadap etika dan integriti keguruan. Kita akan sentiasa mengingatkan guru-guru agar memelihara tingkah laku mereka kerana mereka membawa imej profesion pendidikan dan dilihat sebagai suri teladan dalam masyarakat," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial berhubung dakwaan cinta terlarang antara guru wanita dan seorang lelaki yang masih berstatus suami.

Beberapa klip video turut tular, memaparkan isteri lelaki tersebut bersemuka dengan guru berkenaan.

Kontroversi itu tercetus apabila tular beberapa tangkap layar perbualan berunsur lucah di aplikasi WhatsApp yang dikatakan antara kedua-dua individu terbabit.

Berdasarkan dakwaan yang dikongsikan di media sosial, hubungan terlarang itu didakwa bermula ketika lelaki tersebut menawarkan perkhidmatan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan pendawaian elektrik di rumah guru berkenaan.