STPM setanding Cambridge, diiktiraf lebih 2,000 universiti seluruh dunia - KPM

Iklan
Fadhlina (tengah) merasmikan Majlis Dermasiswa STPM anjuran Farm Fresh Berhad di SMK Tun Syed Sheh Barakbah pada Selasa.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus komited memperkasakan Tingkatan Enam sebagai antara laluan utama pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke menara gading, selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013–2025.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, penjenamaan semula Tingkatan Enam merupakan usaha strategik yang inklusif dan berdaya saing demi memastikan akses pendidikan berkualiti dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Iklan
Iklan

"Tingkatan Enam bukanlah laluan kelas kedua, malah Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) setanding dengan program antarabangsa seperti Cambridge dan mendapat pengiktirafan lebih daripada 2,000 universiti di seluruh dunia.

"Inilah iltizam kita untuk memastikan setiap anak Malaysia mendapat akses kepada pendidikan berkualiti, berimpak tinggi dan mampu membawa mereka ke pentas global," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Dermasiswa STPM anjuran Farm Fresh Berhad di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Sheh Barakbah, Pulau Pinang pada Selasa.

Menurut Fadhlina, dalam memastikan kesaksamaan dan kelangsungan pendidikan, kerajaan turut memperluas Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada pelajar Tingkatan Enam mulai tahun 2025, melibatkan lebih 100,000 pelajar dengan peruntukan RM15 juta.

Iklan

"KPM menyambut baik pelaksanaan Program Dermasiswa Pelajar STPM oleh Farm Fresh Berhad yang disifatkan sebagai satu bentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang menyantuni keperluan semasa pelajar.

"Program ini menyasarkan pelajar Tingkatan Enam daripada keluarga berpendapatan rendah (B40), dengan pemberian tunai sebanyak RM100 sebulan bermula Mei hingga Disember 2025.

"Seramai 500 pelajar dari 10 negeri di Semenanjung Malaysia telah dikenal pasti sebagai penerima awal," katanya.

Tambah beliau, program tersebut akan diteruskan sehingga tahun 2029 dengan anggaran perbelanjaan keseluruhan mencecah RM2.8 juta.

"Kita amat mengalu-alukan usaha ini sebagai bukti kerjasama erat antara sektor awam dan swasta dalam memastikan tiada anak Malaysia tercicir daripada peluang melanjutkan pengajian," ujar beliau.