30 fakta penting tentang Kurikulum Persekolahan 2027 yang wajib diketahui guru & ibu bapa

Iklan
KP2027 meliputi semua peringkat pendidikan iaitu Prasekolah, Sekolah Rendah, Menengah Rendah dan Menengah Atas dalam satu pakej kurikulum bersepadu.

Baru-baru ini, Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum (PBPK), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Nooraini Kamaruddin memberi penerangan mendalam tentang Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) yang mula menjadi bualan ramai.

Taklimat yang disampaikan dalam Program Bicara Profesional Madani di saluran YouTube Institut Aminuddin Baki, KPM itu telah menarik perhatian ramai, terutamanya dalam kalangan warga pendidik yang ingin memahami arah tuju baharu sistem pendidikan negara.

Iklan
Iklan

Masing-masing cuba menerima perubahan ini dengan hati terbuka, meskipun terdapat pelbagai persoalan dan harapan terhadap pelaksanaan KP2027 yang bakal menggantikan kurikulum sedia ada secara berperingkat.

Berikut adalah rumusan penjelasan dan pengembangan tentang KP2027.

Iklan

1) Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) dijenamakan semula kepada KP2027, dengan pendekatan yang lebih ringkas dan mudah.

2) KP2027 meliputi semua peringkat pendidikan iaitu Prasekolah, Sekolah Rendah, Menengah Rendah dan Menengah Atas dalam satu pakej kurikulum bersepadu.

Iklan

3) Pelaksanaan KP2027 akan bermula pada tahun 2027 bagi murid Tahun 1 dan Tingkatan 1.

4) Bagi Prasekolah, pelaksanaan KP2027 akan bermula pada tahun 2026 sebagai persediaan kesinambungan pembelajaran murid ke Tahun 1.

5) Kohort murid Prasekolah 2026 akan menjadi kumpulan pertama yang mengikuti KP2027 di Tahun 1.

6) Kursus Orientasi Kurikulum untuk guru Prasekolah akan dilaksanakan pada tahun ini.

7) Tahap 1 (Tahun 1 dan Tahun 2) akan memberi fokus kepada Literasi, Numerasi dan Pembentukan Karakter (PK).

8) Pada akhir Tahap 1, akan diadakan Semakan Kemajuan untuk memastikan murid menguasai literasi dan numerasi.

9) Bilangan mata pelajaran di Tahap 1 akan diminimumkan; contohnya, subjek Sains tidak akan diajar di Tahun 1.

10) Beberapa mata pelajaran akan memerlukan dua orang guru mengajar secara kolaboratif dalam satu kelas terutamanya di Tahap 1.

11) Guru perlu mengamalkan kolaborasi aktif yang lebih memudahkan pelaksanaan KP2027 di peringkat awal.

12) Pakar psikologi dan perkembangan kanak-kanak menyatakan umur 8 hingga 9 tahun ialah tempoh paling sesuai untuk menilai penguasaan Literasi dan Numerasi.

13) Bagi murid yang belum menguasai Literasi dan Numerasi, guru pemulihan akan memberikan intervensi yang sesuai.

14) Tahap 2 akan menambah sedikit bilangan mata pelajaran dengan tumpuan kepada aplikasi kemahiran, pengetahuan, nilai dan PK.

15) Tahap 3 pula akan ditambah lagi bilangan mata pelajaran dengan fokus kepada kemahiran analisis, inovasi dan PK.

16) Pentaksiran di Tahap 1 hanya sehingga TP3 (Tahu, Faham dan Boleh Buat). Tahap seterusnya TP akan ditingkatkan.

17) Menengah Rendah (Tingkatan 1-3) akan memberi peluang kepada murid untuk meneroka pelbagai bidang seperti seni dan muzik.

18) Jadual waktu semua mata pelajaran akan distandardkan tanpa keperluan jam minimum, menjadikan semua sekolah menggunakan struktur waktu yang sama.

19) Mata pelajaran di Tahap 1 ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Jasmani, Pendidikan Agama Islam/Pendidikan Moral dan Pembelajaran Bersepadu.

20) Pembelajaran Bersepadu (enam waktu seminggu) mengandungi elemen sains, kesihatan, muzik, seni, digital serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan pendekatan Project-Based Learning atau Pembelajaran Bertema.

21) Contoh: Belajar bahagian badan melalui aktiviti menyanyi, melukis dan lain-lain yang menggabungkan pelbagai elemen pembelajaran.

22) Nama Pembelajaran Bersepadu dicadangkan sebagai Alam dan Manusia dengan modul khas untuk panduan guru.

23) Ujian rintis menunjukkan kedua-dua kumpulan guru, dengan atau tanpa modul, dapat melaksanakan aktiviti ini dengan baik apabila guru berkolaborasi.

24) Mata pelajaran baru: Bahasa Isyarat Malaysia (pilihan) untuk sekolah yang mempunyai Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Pendengaran.

25) Bahasa Arab Komunikasi ditawarkan di sekolah menengah sebagai pilihan.

26) PK diperuntukkan 60 minit seminggu dalam jadual waktu dan diselaraskan oleh Guru Bimbingan dan Kaunseling (BnK).

27) Bagi Prasekolah, PK dilaksanakan sepanjang waktu persekolahan terutama semasa rutin harian, dalam bentuk amalan bukan perbincangan.

28) Untuk guru, latihan KP2027 akan bermula secara dalam talian (e-learning) bagi memudahkan pemahaman diikuti dengan sesi bersemuka untuk pengukuhan.

29) Kurikulum sedia ada akan terus digunakan sehingga 2031 sementara kohort KP2027 hanya melibatkan murid Tahun 1 dan Tingkatan 1 mulai tahun 2027.

30) Dokumen Penjajaran 3.0 yang telah dipermudahkan diharap menjadi rujukan utama guru berbanding DSKP.