Pelajar Perak terajui misi hapus sisa plastik

Iklan
Antara peserta yang menyertai Pertandingan Seni dan Sains 2025 di SMK Iskandar Shah baru-baru ini.

"Pelajar bukan hanya belajar tentang alam sekitar tetapi mereka juga memimpin perubahan."

Itulah mesej utama yang dibawakan dalam Pertandingan Seni dan Sains 2025 anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama Green Growth Asia Foundation (GGAF), menerusi Program Young Reporters for Environment - Litter Less Campaign (LLC) baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Program yang mendapat sokongan Youth Environment Living Lab (YELL) Seed Grant melalui UNDP Malaysia bukan sekadar pertandingan biasa.

Sebaliknya, ia menjadi simbol komitmen pelajar sekolah rendah dan menengah di negeri Perak untuk menyahut cabaran global iatu menghapuskan sisa plastik dan memulihara alam sekitar.

Iklan

Menurut Ketua Projek dari UPM, Profesor Madya Dr Sarva Mangala Praveena, pertandingan ini bukan hanya bertujuan menyampaikan pengetahuan, tetapi membentuk tingkah laku lestari sejak di bangku sekolah.

Jelas beliau, pendedahan awal kepada isu alam sekitar seperti pencemaran plastik dan mikroplastik bukan sekadar meningkatkan pengetahuan, malah mampu membentuk nilai dan sikap lestari yang berakar kukuh dalam diri pelajar sejak usia muda.

Iklan

"Kita tidak mahu pelajar hanya tahu fakta tentang pencemaran, tetapi mereka perlu faham kesan jangka panjang terhadap manusia dan alam sekitar.

"Lebih penting, mereka perlu bertindak walaupun isu kecil kerana dari situlah perubahan besar bermula," ujarnya.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Iskandar Shah, Perak, Cikgu Sabarudin Othman berkata, melalui program itu, murid bukan sekadar memahami isu pencemaran, tetapi sudah bertindak sebagai agen perubahan dalam komuniti mereka.

Untuk info, Pertandingan Seni dan Sains 2025 yang berlangsung di SMK Iskandar Shah merupakan kesinambungan daripada kejayaan projek Citizen Science Mapping Initiative of Microplastic Pollution tahun lalu, yang mencatat peningkatan kesedaran murid terhadap mikroplastik dari hanya 30 peratus kepada lebih 97 peratus.

Bertemakan 'Aksi Kecil, Impak Hebat: Bersama Hapuskan Sisa Plastik', pertandingan itu mempertemukan dua dunia iaitu sains dan seni.

Para peserta diminta menghasilkan video berdurasi dua hingga lima minit dalam bentuk dokumentari mini, eksperimen sains atau kempen kesedaran, di samping mempersembahkan arca kreatif hasil kitar semula plastik, yang mencerminkan kefahaman mereka terhadap isu pencemaran dan kelestarian.

Tiga video dan tiga arca terbaik dipilih sebagai pemenang sekali gus membawa pulang wang tunai dan sijil penghargaan.

Program seperti ini wajar dijadikan contoh teladan dan diperluaskan ke seluruh negara tidak terhad kepada mendidik, tetapi juga mengilhamkan gerakan akar umbi dalam menjayakan aspirasi Malaysia yang lebih lestari.