Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menjalankan penilaian terhadap tahap kerosakan bangunan pentadbiran Sekolah Menengah Sains Alam Shah yang musnah dalam satu kebakaran awal pagi Selasa.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Ketua Setiausaha (KSU) KPM telah diarahkan turun padang untuk menilai keseluruhan kerosakan bagi membolehkan bantuan segera disalurkan.
Menurut Fadhlina, kebajikan dan keselamatan guru serta pelajar tetap menjadi keutamaan KPM walaupun insiden tersebut tidak melibatkan kehilangan nyawa.
"Kita akan ambil tindakan segera. Pertama, kita bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dan kedua, kita akan pastikan semua warga sekolah khususnya para pelajar dan guru, berada dalam keadaan selamat.
"Penempatan sementara juga akan diuruskan bagi membolehkan pembelajaran diteruskan dalam suasana yang kondusif," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Sambutan Pelajar Program Pendidikan Tingkatan Enam di Kampus Universiti Sains Malaysia (USM) pada Selasa.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan keseluruhan tingkat tiga sebuah bangunan Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Bandar Tun Razak, dekat sini terbakar sepenuhnya dalam kejadian kebakaran pada Selasa.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dalam kenyataannya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 pada jam 4.15 pagi.
Katanya, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Razak telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran dengan bantuan daripada BBP Jalan Hang Tuah, BBP Cheras dan BBP Sentul.
"Kebakaran melibatkan keseluruhan tingkat tiga bangunan dengan anggaran keluasan 91.44 x 9.144 meter persegi.
"Tingkat tiga bangunan itu telah musnah 100 peratus," kata kenyataan itu pada Selasa.*WARTAWAN: MOHD ISKANDAR OTHMAN